‘Food security’ perlu AI, teknologi digital, automasi dron

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi digital dan pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) termasuk automasi dron semakin meningkat dalam kalangan petani di negara ini, kata Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

- Advertisement -

Namun menurut beliau, kos penyelenggaraan peralatan sistem Internet of Thing (IoT) dan penderia (sensor) boleh mencecah sehingga RM5,000 sementara dron mencapai kira-kira RM10,000 seunit.

Beliau berkata kerajaan perlu melihat semula perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh golongan itu bagi mencapai transformasi digital, reformasi industri, dan pengukuhan keterjaminan makanan (food security).

“Bagaimana kerajaan membantu petani moden yang menggunakan alat-alat teknologi yang terkini yang menggunakan kecerdasan buatan terutama isu menangani penyelenggaran alat ganti dan sebagainya.

“Adakah pihak kementerian juga menyediakan latihan penyelenggaran kepada peralatan moden ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawapan lisan di Dewan Negara di sini kelmarin.

Sementara itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya menyediakan pelbagai bantuan termasuk peralatan moden yang diberikan kepada petani secara sewaan.

Malah beliau berkata lagi, pihak kementerian sedang berusaha untuk menyediakan peralatan tersebut bagi membantu petani yang memerlukan kemudahan tersebut untuk digunakan dalam kebun masing-masing.

“Kita sedang berusaha untuk menyediakan peralatan itu, kita tahun pekebun besar, mereka boleh ladang besar, mereka menyediakan peralatan sendiri, tetapi pekebun kecil ada juga yang perlukan alat ini.

“Agensi dibawah kementerian ini menyediakan peralatan yang sesuai untuk disewa oleh mereka dengan kadar harga yang berpatutan, ini kita akan cuba, sewa dron mengikut keperluan mereka,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Kota Raja itu menjawab soalan lisan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol yang meminta kementerian menyatakan langkah meningkatkan tahap mekanisme dan teknologi dalam pertanian. – HARAKDAHDAILY 19/12/2025

- Advertisement -