Projek Rumah Sejahtera ringankan beban rakyat

Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

MARANG: Kerajaan Terengganu komited membantu rakyat yang memerlukan menerusi pelaksanaan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di seluruh negeri, termasuk pembinaan lima rumah baharu serta baik pulih tiga rumah yang terjejas akibat kebakaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkenaan adalah antara tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya golongan yang memerlukan tempat tinggal.

Menurut beliau, sebahagian penerima telah pun menduduki rumah berkenaan sejak hampir sebulan lalu dan kini sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Alhamdulillah, hari ini kita menyerahkan rumah kepada penerima dan ada antara mereka yang sudah mula tinggal serta menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua penerima,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah di Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan PPTS di kesemua 32 DUN di Terengganu dan tidak menolak kemungkinan penambahan peruntukan sekiranya terdapat keperluan, bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

“Kerajaan beri komitmen untuk seluruh negeri Terengganu di 32 DUN, kita akan terus memantau perkembangan projek Rumah Sejahtera ini sekiranya ada kepentingan untuk kita tambah peruntukan, insya-Allah kita akan tambah peruntukan mengikut kedudukan kewangan negeri,” katanya.

Jelasnya, kos pembinaan bagi setiap unit rumah adalah sekitar RM75,000 dan ia menjadi cabaran dalam keadaan ekonomi semasa berikutan kenaikan harga bahan binaan seperti besi, simen dan pasir.

“Memang ini menjadi cabaran juga dalam keadaan ekonomi yang semasa ini harga barang naik, besi, simen, pasir pun naik tapi kita akan cuba yang terbaik untuk meminimakan kos supaya bila kos dapat diminimakan rakyat akan lebih ramai dapat menikmati” katanya.

Untuk rekod, lapan buah rumah yang siap dibina itu diserahkan kepada penerima yang layak merangkumi golongan kurang bernasib baik, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta keluarga miskin yang benar-benar memerlukan tempat tinggal.

Zamzaimi (tengah) bersama isteri dan anak-anak di kediamannya di Kampung Medan Jaya, Rusila.

Sementara itu, salah seorang penerima, Zamzaimi Zakaria, 54, berkata bantuan perumahan berkenaan memberi sinar baharu kepada keluarganya selepas sekian lama menyewa.

“Rumah ini dibina oleh kerajaan negeri di atas tanah ayah saya. Dengan adanya rumah ini, saya, isteri dan lapan orang anak akhirnya mempunyai tempat berteduh yang selesa.

“Selama ini saya memohon Rumah Mampu Milik, tetapi rezeki belum berpihak. Alhamdulillah, hari ini saya sudah memiliki kediaman sendiri. 

“Saya tidak mampu mengucapkan apa-apa selain rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

- Advertisement -