
TIMBALAN Naib Canselor HEP & Alumni UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor dalam kenyataan media bertarikh 13 Disember 2025 menyifatkan kritikan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadap pentadbiran uniervsiti itu susulan pembatalan saat akhir penggunaan Dewan Mu’adzam Shah (Dewan MAS) UUM sebagai lokasi Majlis Graduasi Syarikat Air Darulaman (SADA) sebagai “tohmahan”.
Dalam kenyataan media Jabatan Komunikasi Korporat UUM yang dibacakannya, Prof. Dr. Ahmad Martadha menyatakan UUM membuat keputusan pada 1 Disember 2025 untuk tidak membenarkan Dewan MAS diguna sebagai lokasi sebarang acara berskala besar termasuk Majlis Graduasi SADA.
Prof. Dr. Ahmad Martadha turut memaklumkan notis menerusi emel telah diedarkan pada 7 Mac 2025 kepada staf UUM bahawa Dewan MAS, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman (DTSO) terbabit dengan kerja naiktaraf dan baikpulih termasuk penggantian bumbung antara tempoh 14 Mei 2025 hingga 14 Disember 2027.
Walau bagaimanapun kata beliau, kerja naiktaraf dan baikpulih itu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Istiadat Konvokesyen UUM Ke-38 pada 9 hingga 13 November 2025.
Prof. Dr. Ahmad Martadha memberikan alasan bahawa kebenaran untuk SADA menggunakan Dewan MAS tidak dapat dipertimbangkan atas sebab keselamatan orang ramai yang hadir jika dibenarkan.
Jika itu sebabnya, bagaimana projek baikpulih termasuk penggantian bumbung yang telah diputuskan sepatutnya bermula 14 Mei 2025 boleh ditangguhkan untuk memberi laluan kepada Konvokesyen yang melibatkan keberangkatan KDYMM Sultan Kedah, DYTM Raja Muda Kedah dan YTM Tunku Mahkota Kedah di Dewan MAS pada 9 November 2025?
Bukankah sepatutnya apabila melibatkan keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan serta kerabat diraja, isu keselamatan lebih diutamakan oleh pihak UUM?
Apabila disebut mengenai penggantian bumbung, ini menggambarkan kerosakan serius telah berlaku di bangunan itu dan tidak sepatutnya digunakan lebih- lebih lagi melibatkan keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan serta kerabat diraja. Risikonya amatlah tinggi.
Selain itu, dalam surat Pengurus Besar UUM Leads Sdn. Bhd., Prof. Madya Dr. Mohd Sobri bin Don @ A. Wahab kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad bin Sakdan bertarikh 26 Oktober 2025, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri memaklumkan kepada Naib Canselor UUM mengenai Majlis Graduasi SADA pada Khamis, 11 Disember 2025 dan juga memohon kebenaran untuk Dewan MAS digunakan bagi acara itu.
Surat itu telah diterima (bukti cop) oleh Naih Canselor pada 27 Oktober 2025 pada pada hari yang sama juga, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad telah menulis minit ‘Tiada halangan’ berserta tandatangan dan cop rasmi beliau.
Pada surat itu tertera maklum balas diterima oleh pihak UUM Leads pada 6 November 2025, dan diminit oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sobri kepada kakitangan syarikat itu untuk diambil tindakan segera.
Entah apa yang berlaku, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri kemudian dalam satu surat berasingan yang tidak bertarikh telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Encik Radzuan Osman bahawa UUM Leads telah menerima makluman (arahan) daripada pentadbiran UUM bahawa Dewan MAS tidak boleh digunakan untuk Majlis Graduasi SADA serta lain-lain acara hingga 15 November 2027.
Berdasarkan kod rujukan, surat itu dipercayai ditulis dan dihantar dalam bulan Disember 2025, selepas Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad bin Sakdan bersara.
Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) UUM, Prof. Madya Dr. Herman Shah bin Anuar dalam surat kepada Prof. Dr. Ahmad Martadha (yang menjalankan fungsi Naib Canselor selepas Dato’ Dr. Mohd Fo’ad bersara mulai 19 November 2025) bertarikh 3 Disember 2025 memohon untuk Majlis Graduasi SADA dapat dilaksanakan di Dewan MAS seperti yang dirancang. Beliau menyatakan alasan bahawa kebenaran telah diperolehi daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad bin Sakdan pada 27 Oktober 2025 selain segala persiapan telah dibuat dan kos sebanyak RM88,000 juga telah diperuntukkan oleh SADA untuk majlis itu.
Kritikan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi dalam ucapan perasmian Majlis Graduasi SADA pada 11 Disember lalu adalah satu teguran — bukan tohmahan — untuk pentadbiran UUM meletakkan integriti dan kredibiliti para akademia pada tahap yang tertinggi sesuai dengan tahap keilmuan dan intelektualiti mereka .
Ini penting bagi mengekalkan prestij universiti sebagai gedung ilmu dan himpunan para cendikiawan yang tidak tunduk pada kepentingan politik mana-mana pihak termasuk yang sedang memimpin kerajaan.
Para cendikiawan terutama pentadbir utama universiti perlu bebas dalam apa jua keputusan tanpa tekanan politik sebagaimana harapan tinggi masyarakat kepada para profesor yang mentadbir universiti awam.
Kronologi Isu (berdasarkan pemakluman pihak SADA)
25 September 2025
Satu mesyuarat penyelarasan kali pertama bagi Majlis Graduasi SADA 2025 telah diadakan di EDC Hotel, Sintok, Kedah melibatkan wakil rasmi SADA dan UUM. Antara perkara utama yang dibincangkan adalah:
- Tentatif Majlis Graduasi
- Senarai VVIP SADA dan UUM
- Nama majlis dan tempat
- Jumlah graduan
- Bajet majlis
- Perkara-perkara lain berkaitan penganjuran
Dalam perbincangan ini, pihak SADA telah memaklumkan secara jelas bahawa Menteri Besar YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Pengerusi SADA akan dijemput sebagai Perasmi dan Penyampai Sijil.
Pihak UUM seterusnya memaklumkan bahawa pengesahan kehadiran YAB Menteri Besar Kedah selaku Pengerusi SADA diperlukan bagi meneruskan agenda penganjuran majlis.
29 September 2025
Pihak SADA telah mengeluarkan surat rasmi kepada Pejabat YAB Menteri Besar Kedah bagi menyatakan hasrat mengadakan Majlis Graduasi SADA 2025 serta menjemput YAB Menteri Besar untuk:
- Merasmikan majlis graduasi,
- Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SADA dan UUM, dan
- Menyempurnakan penyampaian sijil kepada graduan
5 Oktober 2025
Pihak Pejabat YAB Menteri Besar Kedah telah membalas surat SADA dan mengesahkan persetujuan kehadiran ke Majlis Graduasi SADA 2025.
12 Oktober 2025
Pihak SADA telah mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Naib Canselor UUM bagi menganjurkan Majlis Graduasi SADA di UUM serta memohon penggunaan Dewan MAS sebagai lokasi majlis pada 11 Disember 2025.
23 Oktober 2025
Satu lagi surat permohonan kerjasama rasmi telah dikemukakan oleh pihak SADA kepada Pengurus Besar UUM LEADS Sdn. Bhd., sekali lagi menyatakan permohonan penggunaan Dewan MAS pada tarikh yang sama.
24 Oktober 2025
Satu perbincangan rasmi telah diadakan di Student Lounge STML, UUM pada jam 10.00 pagi bagi tujuan penyusunan dan perjalanan Majlis Graduasi SADA 2025.
Dalam perbincangan ini, pihak UUM telah menyatakan bahawa tiada sebarang ketegahan terhadap penggunaan Dewan MAS bagi majlis berkenaan kerana telah dipersetujui Naib Canselor UUM iaitu Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad bin Sakdan.
Perbincangan meliputi:
- Perjalanan majlis
- Kehadiran VVIP
- Kehadiran graduan
- Pengisian majlis
2 November 2025
Pihak SADA telah mengadakan mesyuarat dalaman bagi persiapan penganjuran Majlis Graduasi SADA 2025. Butiran mesyuarat adalah berkenaan:
- Lantikan Jawatankuasa Majlis
- Aturcara majlis
- Tugas-tugas Ahli Jawatankuasa dan Petugas Majlis
- Lain-lain hal
Semua persiapan ini dibuat berasaskan kefahaman bahawa Dewan MAS , UUM akan digunakan sebagai lokasi rasmi majlis.
Dalam tempoh ini, pihak UUM juga telah hadir beberapa kali ke Menara SADA bagi membincangkan progres persiapan bagi Majlis Graduasi SADA ini.
26 November 2025
Pihak SADA telah menerima sebut harga rasmi daripada pihak UUM bagi penganjuran Majlis Graduasi SADA 2025 berjumlah RM88,194.12, yang menunjukkan penganjuran majlis berada pada tahap persiapan lanjut.
4 Disember 2025
Mesyuarat penyelarasan kali kedua bersama pihak UUM telah diadakan di Anjung Tamu, UUM. Perbincangan merangkumi secara terperinci:
- Tentatif majlis
- Setting & seating Dewan MAS , UUM
- Protokol majlis
- Kehadiran VVIP
- Kehadiran graduan
Mesyuarat ini turut menetapkan:
- Mesyuarat seterusnya pada 7 Disember 2025
- Lawatan tapak Dewan MAS pada 09 Disember 2025
- Raptai di Dewan MAS , UUM pada 10 Disember 2025
- Majlis Graduasi di Dewan MAS UUM pada 11 Disember 2025
7 Disember 2025
Mesyuarat penyelarasan kali ketiga telah diadakan nersama UUMdisertai pelbagai jabatan/unit dalaman UUM yang akan bekerjasama dalam menjayakan majlis graduasi ini di UUM. Mesyuarat ini secara khusus membincangkan pengurusan dalaman berkenaan Dewan Mu’adzam Shah, termasuk:
- Susunan meja dan kerusi
- Bilik menandatangani MoU
- Bilik menunggu VVIP
- Penyediaan montaj
- Penyelarasan pengacara majlis
- Penyerahan jubah
- Kedudukan kamera
- Buku aturcara pentadbiran
- Persembahan koir UUM
- Dan lain-lain
8 Disember 2025
Pada jam lebih kurang 11.00 pagi, pihak SADA dimaklumkan secara lisan bahawa Majlis Graduasi SADA 2025 tidak boleh diadakan di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
Pada hari yang sama:
- Wakil UUM LEADS Sdn. Bhd. telah hadir ke Ibu Pejabat SADA
- Satu pertemuan telah diadakan bersama pihak pengurusan tertinggi SADA
- Pihak SADA telah menerima satu surat pembatalan tidak bertarikh diserahkan di Bilik Ketua Pegawai Operasi
Surat tersebut:
- Ditandatangani oleh Pengurus Besar UUM LEADS Sdn. Bhd.
- Menyatakan bahawa Dewan Muadzam Shah tidak dapat digunakan atas alasan penyelenggaraan dan kerja baik pulih
- Mencadangkan agar lokasi majlis dipindahkan ke Dewan Sri Angsana, EDC Hotel, Sintok dengan hanya berkapasiti 250 orang sahaja. Makluman ini dibuat dua hari sebelum tarikh majlis, selepas keseluruhan
perancangan, penyelarasan dan persiapan dibuat berdasarkan penggunaan Dewan MAS Universiti Utara Malaysia.
8 Disember 2025
Akibat pembatalan ini, satu perbincangan telah diadakan pada lewat petang di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif bagi mencari lokasi majlis yang baru.
9 Disember 2025
Satu lawatan tapak telah diadakan di Elissa Garden, Titi Gajah bagi melihat kapasiti dewan di lokasi berkenaan. Setelah diteliti, pihak SADA memilih lokasi tersebut sebagai venue majlis.
10 Disember 2025
Raptai penuh bagi majlis graduasi telah diadakan di Elissa Garden, Titi Gajah.
11 Disember 2025
Majlis Graduasi SADA 2025 telah berlangsung di Elissa Garden.
Kesimpulan
Berdasarkan kronologi di atas, jelas bahawa
- Pihak SADA telah bertindak berasaskan persetujuan dan penyelarasan berterusan dengan pihak UUM.
- Tiada sebarang bantahan atau notis awal berhubung ketidakbolehgunaan Dewan MAS sehingga 8 Disember 2025.
- Penyelarasan aturcara majlis, susun atur dan kedudukan di dalam Dewan MAS juga telah dibuat oleh jabatan dalaman UUM Bersama pihak SADA pada 7 Disember 2025.
- Pembatalan dimaklumkan di saat akhir selepas segala persiapan majlis telah pun dibuat bagi mengadakan majlis tersebut di Dewan MAS.
MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 15/12/2025











