Dialog menjernihkan kekusutan

- Advertisement -

KENYATAAN pimpinan PAS untuk membuka ruang dialog bersama MCA adalah sesuatu yang menarik. Lebih-lebih lagi kesediaan pimpinan MCA untuk menjernihkan naratif  yang sering dimainkan oleh DAP,  melabelkan PAS sebagai ekstrimis, Taliban atau yang seumpamanya.

Setakat ini strategi DAP berjaya mengaburi akal sesetengah pemikiran rakyat, dan potret sebeginilah yang melekat pada bingkai kepercayaan, bukan sahaja kepada MCA tetapi kepada umum majoriti  golongan bukan Islam dalam negara.

Justeru, kaedah tuntas bagi menyingkirkan salah faham akibat naratif jahat, di samping  menghilangkan kabut mengenai dasar perjuangan PAS, adalah dialog. Setiap ahli PAS disaran supaya menjadikan sesi dialog sebagai jambatan untuk memperkenalkan PAS, dan medan untuk merungkai segala pertikaian. Inilah pegangan ahli dari sudut pandang dalaman tarbiyah PAS.

Dialog merupakan satu pengucapan, perbualan atau perundingan antara dua belah pihak atau lebih yang bertelagah kepentingan, mengandungi buah fikiran atau pendapat, bertujuan untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau menangani isu berbangkit.

- Advertisement -

Islam menganjurkan sesi dialog bagi merungkai sebarang permasalahan atau mencari sesuatu kebenaran. Bahkan seseorang itu kelihatan matang apabila ia mengambil jalan dialog, tidak cepat melatah, apatah lagi menghukum tanpa mendapatkan kepastian demi menegakkan kebenaran atau menyelesaikan sesuatu polemik.

Sirah Ibn Hisyam merakamkan bagaimana al-Najasyi mendapatkan pencerahan dari saidina Jaafar bin Abi Talib RA mengenai dakwah Rasulullah SAW dan Nabi Isa AS menerusi sesi dialog. Meskipun al-Najasyi cuba dipengaruhi oleh Abdullah bin Abi Rabiah dan Amr bin ‘As bin Wail, namun dengan bersandarkan fakta dari al-Quran, iaitu petikan ayat-ayat dari surah Maryam, maka al-Najasyi akur dengan kebenaran yang dituturkan oleh saidina Jaafar RA.

Al-Quran telah memberikan beberapa tips agar dialog yang ucapkan benar-benar berbekas serta dapat meninggalkan kesan mendalam kepada pihak berbicara. Antara tips tersebut adalah pemilihan perkataan serta lenggok antonansi pengucapan yang menarik. Dalam hal ini, Allah telah memerintahkan   Nabi Musa AS dan saudaranya Nabi Harun AS supaya menggunakan perkataan lembut dan bernas apabila berdialog dengan Firaun, seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Pergilah, kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut supaya ia beringat atau takut.” (Surah Taha: 43-44).

Selain itu, sesi perbualan atau perbincangan antara pihak berkenaan dapat mencungkil kemusyikilan mengenai sesuatu hal, atau untuk merumuskan satu pandangan, menyelidiki realiti persekitaran sosial, atau memberi panduan bermanfaat. Keadaan ini jelas dalam dialog para pemuda Ashab al-Kahfi selepas terbangun dari tidur mereka yang panjang.
.
Firman Allah bermaksud: “Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri.  Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?”, (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui mengenai lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu,  membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah ia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia berlemah lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di  bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.” (Surah al-Kahfi: 19)
.
Di dalam ayat lain pula, seseorang itu hendaklah sabar mendengar, memerhati, menekuni dan menaakul pengucapan seorang yang lain. Dengan perkataan lain, ia hendaklah tidak cepat melatah, mematahkan ucapan tanpa menunggu tamat lisan, atau berpaling kerana tergesa-gesa boleh memakan diri dan merugikan. Hal inilah diperingatkan oleh Nabi Khidir AS kepada Nabi Musa AS menerusi firman Allah yang bermaksud: “Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahui secara meliputi?”. Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, insyaAllah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu.” (Surah al-Kahfi: 67-69)
.
Pada sisi lain pula, ratu Balqis sebagai pemerintah kerajaan Saba menggunakan kebijaksaannya berdialog untuk mendapatkan pendapat menteri kabinetnya. Saling bertukar pandangan, berhujah serta mengemukakan alasan yang munasabah telah membuat kata-katanya dihormati dan ditaati oleh para pengikutnya.

Memetik firman Allah bermaksud: “Raja perempuan itu berkata lagi: “Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadhir memberi pendapat dan mempersetujuinya”. Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah, dan amat berani menempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan. Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia; hina dina, dansedemikian itulah mereka akan lakukan”. (Surah al-Naml: 32-34)

Berbalik kepada situasi politik negara pada hari ini, tentunya persepsi buruk yang terpalit sejak sekian pada mata masyarakat bukan Islam terhadap PAS dapat dicuci menerusi sesi dialog. Baik sama ada parti MCA, MIC atau mana-mana parti yang ingin bertaaruf dengan PAS, diyakini bahawa pintu dialog sentiasa terbuka. Malah sesi dialog ini bukan sahaja medan perbincangan kosong, tetapi sebagai wadah yang mampu mengubah landskap pemahaman dan kepercayaan politik terutamanya golongan bukan Islam mengenai sistem politik Islam dan PAS.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/12/2025  

- Advertisement -