
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid melalui firma guaman Karthig Shan telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ia berhubung pendedahan kuasa Perlembagaan berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 26 Oktober lalu.
“Anakguam kami (Rosol) selanjutnya mengarahkan bahawa keadaan sekitar pemeteraian ART menimbulkan persoalan Perlembagaan yang serius.
“(Pertama) autoriti perundangan yang digunakan untuk memeterai perjanjian tersebut, dan (kedua) keupayaan Eksekutif untuk mengikat Persekutuan tanpa pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Surat ini dikeluarkan menurut hak perlembagaan anakguam kami sebagai warganegara dan sebagai Ahli Parlimen untuk menuntut pertanggungjawaban daripada pihak Eksekutif.
“(Ia) serta untuk meletakkan pejabat Dato’ Seri pada notis rasmi mengenai pendirian perlembagaan yang dikemukakan oleh anakguam kami,” ujarnya dalam LOD bertarikh 11 Disember (hari ini).
Firma itu berkata anak guamnya berpendirian bahawa Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kapasiti kontraktual kepada ‘Persekutuan’, bukan Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau mana-mana individu.
Menurutnya, ‘Persekutuan’ dalam Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan merangkumi Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja, Eksekutif dan Parlimen.
Maka, jelasnya sebarang perjanjian yang mengikat Persekutuan hendaklah dimeterai dengan penyertaan atau perkenan organ berperlembagaan berkaitan dan tidak boleh dilakukan secara unilateral oleh Eksekutif.
“Sehubungan itu, Perdana Menteri yang bertindak secara unilateral tidak mempunyai kuasa sah untuk memeterai ART bagi pihak Persekutuan tanpa kelulusan Parlimen terlebih dahulu.
“Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri tidak mempunyai kapasiti perlembagaan untuk mengikat Persekutuan pada masa berkenaan.
“Akibatnya, tiada notifikasi sah di bawah Artikel 7.2 ARTyang mengesahkan bahawa Malaysia telah melengkapkan ‘prosedur perundangan yang terpakai’ boleh dikeluarkan oleh Dato’ Seri atau Kerajaan Malaysia.
“(Ia) memandangkan perjanjian tersebut, menurut pendirian anakguam kami, adalah ‘void ab initio’ kerana ketidakpatuhan kepada Perkara 69,” jelasnya berkenaan pendirian Rosol.
Sehubungan itu, firma berkenaan menuntut pengesahan bertulis mengenai tujuh perkara, termasuk sama ada Jemaah Menteri telah meneliti perjanjian sepenuhnya, sama ada nasihat Peguam Negara atau perkenan Majlis Raja-raja diperoleh, serta sama ada Parlimen meluluskan undang-undang berkaitan perjanjian tersebut.
Ia turut meminta penjelasan sama ada segala keperluan Perlembagaan melibatkan Yang di-Pertuan Agong dipatuhi, serta sama ada sebarang notifikasi bertulis mengesahkan penyempurnaan ‘prosedur perundangan yang terpakai’ telah ditukar antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Menurutnya, Perdana Menteri diminta memberikan jawapan bertulis dalam tempoh 14 hari dari tarikh LOD itu dikeluarkan.
Firma itu turut menegaskan bahawa kegagalan memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan akan menyebabkan anak guamnya mengambil tindakan undang-undang sewajarnya, termasuk memulakan prosiding kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa perjanjian itu tidak berperlembagaan dan tidak sah.
“Kami yakin bahawa pejabat Dato’ Seri akan memberikan perhatian segera dan keseriusan perlembagaan yang sewajarnya terhadap perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2025











