
KUANTAN: Walaupun sudah mempunyai tangki pra-enapan bagi mengatasi air sungai yang keruh, namun kerajaan negeri diminta menyatakan langkah mengekang punca masalah itu ketika musim tengkujuh.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) berkata, kadar kekeruhan atau Nephelometric Turbidity Unit (NTU) melebihi bacaan 10,000 NTU itu membabitkan Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau.
Beliau berkata, peningkatan kadar itu berpunca aktiviti pembangunan yang tidak terancang, selain penerokaan hutan ladang Durian Musang King menyebabkan berlaku hakisan dan kelodak ke sungai.
“Isunya sebab ini di luar bidang kuasa, punca kekeruhan disebabkan ladang dibuka, tanah pertanian dan sebagainya menyebabkan bila hujan loji confirm kena tutup, kadar kekeruhan tak boleh diproses.
“Jadi, apakah langkah segera sebab waktu hujung-hujung musim ini bulan 11, 12 dan satu terpaksa ditutup jadi apakah langkah bagi mengatasi masalah pada waktu-waktu kritikal tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (BN-Jelai) menjelaskan pihaknya turut megakui apabila tiba musim tengkujuh air sungai terbabit mengalami NTU yang tinggi dan tidak boleh digunakan.
Bagaimanapun beliau tidak memperincikan inisiatif kerajaan negeri untuk menghentikan aktiviti tersebut, sebaliknya mengakui kekeruhan air sungai hanya kejadian berulang ketika musim tengkujuh.
“Kita memang ada dengar pasal kekeruhan ini, tetapi saya ingin menyatakan di sini bahawa masalah kekeruhan air sungai ini kita telah selesaikan, Setiausaha kerajaan diminta melihat isu ini.
“Memang tidak dapat dinafikan bila berlaku, kita akan tutup kerana airnya tidak selamat untuk diminum dan sebagainya, tetapi bila (keadaan) kembali kepada asal kita buka semula (operasi LRA),” katanya.
Terdahulu beliau menjawab soalan lisan Ho Chi Yang (PH-Tanah Rata) mengenai usaha kerajaan negeri untuk menaiktaraf infrastruktur air di semua daerah di Pahang dan perkembangan projek itu. –HARAKAHDAILY 11/12/2025











