
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad menegaskan tidak ada keperluan untuk kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau berkata sejak tahun 1975, ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran telah membenarkan UEC dilaksanakan di sekolah swasta di negara ini.
“Pada tahun 2012, di akhir tempoh Dato’ Sri Mohd Najib (Tun Abdul Razak) sebagai Menteri Pendidikan sebelum diganti dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin), UEC telah mendapat pengiktirafan separa atau bersyarat.
“(Ia) bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke IPG (Institut Pendidikan Guru) bagi bidang Bahasa Cina sahaja,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Menurut beliau, apabila UEC dibenarkan beroperasi di negara ini sejak 1975 dan diberikan pengiktirafan bersyarat pada 2012, kini timbul pula tuntutan supaya UEC diiktiraf sepenuhnya setaraf persijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Beliau menegaskan sebagai rakyat Malaysia, semua pihak tanpa mengira kaum sepatutnya menyokong sistem pendidikan kebangsaan serta bersama memajukannya.
Menurutnya, jika ada kekurangan, ia perlu ditegur dan dikritik dengan niat membangunkan sistem pendidikan, bukan meruntuhkannya.
Dr Anuar berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menerima sekolah vernakular sebagai ‘sekolah aliran kebangsaan’, sesuatu yang tidak dilakukan negara lain.
“Malah kewujudan sekolah vernakular di negara ini telah pun diiktiraf di dalam peruntukan undang-undang berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021,” ulasnya.
Beliau menegaskan pemimpin masa depan negara perlu berjiwa besar dan menunjukkan sifat patriotik dengan memperkasa sistem pendidikan kebangsaan (Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan), bukannya terus memecahbelahkan sistem pendidikan kepada lebih banyak aliran dan persijilan.
“Kena ingat, UEC bukan lahir dari sistem pendidikan negara ini. Kurikulum UEC juga bukan kurikulum kebangsaan,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, DAP memberi tempoh enam bulan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan reformasi bermakna, sambil menegaskan mereka tidak akan menjatuhkan kerajaan sebelum pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata penilaian semula peranan DAP mungkin berlaku jika persepsi awam tidak berubah, namun sokongan kepada kerajaan tetap dikekalkan.
Beliau turut menyatakan komitmen terhadap isu seperti pengiktirafan UEC dan menekankan bahawa reformasi memerlukan proses serta keseimbangan politik. – HARAKAHDAILY 10/11/2025
TEKS ASAL DR ANUAR AHMAD
SEJAK tahun 1975, (Tun) Dr Mahathir ketika itu Menteri Pelajaran telah pun membenarkan UEC dilaksanakan di sekolah swasta di negara ini.
Pada tahun 2012, di akhir tempoh Dato Seri Mohd Najib sebagai Menteri Pendidikan sebelum diganti dengan Tan Sri Muhyiddin, UEC telah mendapat pengiktirafan separa atau bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke IPG bagi bidang Bahasa Cina sahaja.
Nampaknya, bila sudah dibenarkan UEC beroperasi di negara ini (1975) dan diberikan pengiktirafan bersyarat (2012), sekarang dituntut pula supaya diiktiraf UEC sepenuhnya sepertimana persijilan SPM dan STPM.
Sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya kita semua tanpa mengira kaum mesti menyokong sistem pendidikan kebangsaan. Mari kita sama-sama majukan sistem pendidikan kita. Kalau ada kekurangan, sama-sama kita tegur. Kita kritik. Tetapi bukan dengan niat meruntuhkan. Niatnya untuk sama-sama kita bangunkan sistem pendidikan kita.
Malah Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang bersetuju supaya sekolah vernakular diterima sebagai ‘sekolah aliran kebangsaan’. Tidak ada negara lain yang buat seperti ini.
Malah kewujudan sekolah vernakular di negara ini telah pun diiktiraf di dalam peruntukan undang-undang berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021.
Para pemimpin Malaysia untuk masa depan sepatutnya berjiwa besar dan menunjukkan sifat patriotik dengan bersama-sama memperkasa sistem pendidikan kebangsaan (SK dan SJK). Bukan dengan terus menerus memecahbelahkan sistem pendidikan kepada lebih banyak aliran dan persijilan pendidikan.
Kena ingat, UEC bukan lahir dari sistem pendidikan negara ini. Kurikulum UEC juga bukan kurikulum kebangsaan.
‘Saya bantah pengiktirafan UEC’
ANUAR AHMAD
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1G3n7gbXfa











