DAP beri PMX kata dua, tekanan kian memuncak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP baru-baru ini merupakan isyarat jelas kepada Perdana Menteri (PMX) supaya menunaikan janji reformasi yang telah lama dituntut parti itu.
 
Menurut beliau, desakan DAP itu berkait rapat dengan punca kekalahan total parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sekali gus menimbulkan tekanan baharu terhadap kerajaan.
 
“Jika sebelum ini tekanan terhadap PMX datang dari luar, kini ia datang daripada sekutu kuatnya sendiri iaitu DAP,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
 
Khairul Faizi berkata DAP memiliki jumlah kerusi Parlimen yang mampu menggoyahkan Kerajaan Madani, menjadikan kata dua mereka bukan perkara kecil.
 
Beliau menegaskan kenyataan terbaru Setiausaha Agung DAP hanyalah gambaran awal kepada masalah lebih besar bahawa reformasi tidak berjalan seperti dijanjikan.
 
Menurutnya, DAP tidak mahu reputasi parti terjejas akibat kegagalan dasar kerajaan dan dengan kerusi dimiliki, tekanan mereka mampu menggoncang Putrajaya.
 
“Jika PMX tidak bergerak segera, tekanan daripada sekutu sendiri boleh bertukar menjadi tsunami politik dalaman yang meruntuhkan Kerajaan Madani,” ulasnya.
 
Beliau menambah bahawa PMX kini berdepan tekanan hebat dari segenap penjuru ketika masa semakin suntuk dan menggugat kedudukan kerajaan.
 
Terdahulu, media tempatan melaporkan, DAP memberi tempoh enam bulan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan reformasi bermakna, sambil menegaskan mereka tidak akan menjatuhkan kerajaan sebelum pilihan raya umum akan datang.
 
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata penilaian semula peranan DAP mungkin berlaku jika persepsi awam tidak berubah, namun sokongan kepada kerajaan tetap dikekalkan.
 
Beliau turut menyatakan komitmen terhadap isu seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan menekankan bahawa reformasi memerlukan proses serta keseimbangan politik. – HARAKAHDAILY 10/12/2025

- Advertisement -
- Advertisement -