Jangan gadai prinsip pendidikan, bantah iktiraf UEC

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menyuarakan bantahan tegas terhadap rancangan DAP untuk mendesak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang disifatkan sebagai bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

- Advertisement -

​Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, cadangan pengiktirafan tersebut bukan sahaja menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah bakal menjejaskan usaha membina perpaduan nasional melalui satu sistem pendidikan yang menyeluruh.

​Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu menyuarakan bantahan menyusul tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang semalam dilaporkan berkata partinya akan bertemu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi meminta kerajaan mengiktiraf UEC.

​Mengulas perkara itu, Mohd Fairuz menegaskan bahawa agenda pendidikan negara mestilah berasaskan penyatuan dan keharmonian, bukannya tunduk kepada tuntutan politik mana-mana pihak.

​“UEC tidak berteraskan kepada kurikulum kebangsaan, tidak melalui pentaksiran selaras Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan tidak menuruti kehendak Akta Pendidikan 1996.

​“Maka adalah tidak wajar sama sekali ia diberikan kedudukan setaraf dengan kelayakan nasional. Pengiktirafan sebegini akan mewujudkan standard ganda (double standard) dalam kelayakan akademik serta ketidakadilan kepada pelajar sekolah arus perdana,” katanya.

​Semalam, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan mengulangi pendirian DAP untuk memperjuangkan pengiktirafan sijil tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar serta jangan khuatir.

​Nga mendakwa DAP telah mendengar suara masyarakat Cina dan akan menyemak diri secara rendah hati supaya negara terus maju.

​Sehubungan itu, Mohd Fairuz menggesa Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) agar berhenti daripada menggadaikan prinsip pendidikan negara hanya kerana tekanan politik daripada parti sekutu.

​Tegasnya, keutamaan kerajaan sepatutnya adalah memperkasakan sistem pendidikan kebangsaan, bukannya memberi keistimewaan kepada sistem yang membuka ruang kepada pendidikan pelbagai aliran dan semakin terpisah dari kerangka kebangsaan.

​“Kami turut mendesak Kementerian Pendidikan untuk tampil memberikan penjelasan rasmi, apakah hala tuju sebenar dasar pendidikan negara jika UEC terus dijadikan agenda politik oleh DAP.

​“PAS Negeri Sembilan akan terus mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu, integriti sistem pendidikan nasional, dan asas perpaduan negara, sambil menolak apa jua usaha yang boleh melemahkan identiti kebangsaan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/12/2025

- Advertisement -