
KUANTAN: Yohanis Ahmad (PN-Pulau Tawar) mencadangkan supaya peruntukan Skim Makmur Ternak berjumlah RM500,000 seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri ditingkatkan kepada RM1 juta bagi membantu lebih ramai penternak kecil dan sederhana.
Beliau berkata, skim berkenaan yang turut disenaraikan dalam agenda keterjaminan makanan negeri bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran daging ruminan seperti lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.
Menurutnya, terdapat dua bentuk geran ditawarkan menerusi skim itu, iaitu geran pemadanan sehingga RM10,000 bagi menampung 10 peratus nilai baka induk serta geran penuh sehingga RM5,000 bagi tujuan pembelian input ladang, bahan binaan, baik pulih dan infrastruktur ladang.
“Apabila saya turun ke lapangan dan berjumpa dengan anak-anak muda yang menternak secara kecil-kecilan, isu utama mereka adalah kekangan peruntukan untuk membaiki infraladang seperti pagar dan kemudahan asas ternakan.
“Dalam belanjawan ini ada disebut peruntukan RM500,000 untuk Skim Makmur Ternak, namun saya melihat jumlah itu mungkin masih belum mencukupi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, semalam.di Dewan Sri Pahang, hari ini.
Sehubungan itu, Yohanis mencadangkan agar peruntukan skim berkenaan ditambah supaya usaha memperkasa sektor penternakan ruminan di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Diharapkan cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai usaha Melonjak Ekonomi Negeri di bawah perkara 60, iaitu peruntukan sebanyak RM300,000 bagi memastikan rakyat memahami hala tuju ekonomi negeri menerusi Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025 hingga 2030 (PET 30).
Menurutnya, pada 24 Jun lalu, Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN) telah membentangkan pelan itu kepada Menteri Besar dan barisan ahli jawatankuasa negeri di Geo Hotel dan Resort Genting.
Beliau berkata, pelan itu digerakkan berpaksikan tiga teras utama iaitu kesejahteraan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta.
“Disebut dalam program tersebut ialah komitmen bersama rakyat Pahang untuk merealisasikan pelan ini secara menyeluruh.
“Jadi saya minta agar taklimat pelan ini turut ditaklimatkan kepada semua yang berhormat yang hadir dalam sindang Dun pada kali ini termasuk kami daripada barisan pembangkang supaya pelan ekonomi ini kami tahu bagaimanakah bentuknya dan insya-Allah kami boleh ceritakan kepada rakyat apabila pulang ke Dun masing-masing nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











