
KUANTAN: Hassan Omar (PN-Lanchang), mencadangkan agar pembentung di beberapa kawasan dinaiktaraf atau ditambah segera bagi mengurangkan risiko limpahan dan banjir kilat.
Menurutnya, seminggu lalu Taman Mentakab Indah dilanda banjir kilat akibat pembentung sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak sekali gus menyebabkan gangguan kepada penduduk setempat serta kerosakan harta benda.
“Maklumat dari pihak tempatan pembentong yang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menampung aliran air semasa hujan lebat menyebabkan limpahan air berlaku. Tindakan menaiktaraf atau menambah pembentung perlu diambil segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Beliau menyataan demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, banjir juga kerap menenggelamkan jalan Kampung Paya Ara, Belengu, selain jalan utama penduduk kampung yang merupakan jalan alternatif antara bypass Temerloh ke Bera atau sebaliknya.
“Mohon supaya jalan tersebut ditinggikan daripada kedududukan asal,” katanya.
Hassan turut memuji tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam mengurus mangsa banjir dengan pendaftaran secara dalam talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), yang memudahkan pentadbiran dan urusan bantuan.
“Ini memudahkan pentadbiran lebih cekap dalam semua urusan,” katanya.
Beliau menekankan isu gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk Mukim Semantan 1 meliputi Kampung Bolok Hulu/Sokmik, Kampung Bolok Hilir, Kampung Cempaka, Kampung Teris dan Taman Lanchang Permai.
Sementara itu, menerusi hantaran di laman sosialnya, Hassan memaklumkan, sejurus selesai persidangan tadi, beliau telah bertemu dengan pihak Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Dato’ Ir. Saiful Zaini, dan mengemukakan perkara itu secara terus.
“Beliau memberi jaminan bahawa tindakan segera akan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, beliau amat menghargai komitmen dan perhatian serius yang diberikan pihak PAIP.
“Semoga tindakan susulan yang bakal diambil dalam masa terdekat dapat memberikan kelegaan kepada para penduduk yang telah lama berdepan kesulitan ini.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau perkembangan isu ini demi memastikan penyelesaian yang terbaik dapat dicapai. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











