Guna KCS selenggara saliran, kurangkan risiko banjir

Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan
- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan negeri dicadang menyemak semula garis panduan penggunaan Kutipan Caruman Saliran (KCS) bagi membolehkan dana itu digunakan untuk tujuan penyelenggaraan saliran, bukan hanya terhad kepada pembangunan baharu.

- Advertisement -

Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan (PN-Pulau Manis) berkata, sistem saliran yang berkesan bukan hanya bergantung kepada pembinaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan fungsinya sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kita boleh bina longkang yang paling sempurna sekalipun, akan tetapi jika ia tidak dibersihkan, tidak diselenggara dalam tempoh yang diperlukan, ia juga boleh menyumbang kepada berlakunya banjir.
 
“Kebiasaannya hal ini bukan sengaja dibiarkan tetapi akibat kekangan peruntukan sering menjadi penyebab kerja-kerja ini tidak dapat dijalankan.

“Tambahan pula kos penyelenggaraan semakin meningkat sedangkan kita ada dana KCS boleh membantu meringankan beban tersebut. Justeru, saya ingin mencadangkan supaya dasar ini disemak semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, KCS yang sedia ada sebenarnya berupaya membantu meringankan beban kewangan bagi tujuan berkenaan, namun tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya berikutan tafsiran dasar semasa yang mengehadkan penggunaannya kepada pembangunan baharu sahaja.

“Kita perlu memastikan tiada tafsiran yang menyekat menggunakan KCS untuk penyelenggaraan saliran.

“Dalam masa yang sama, kebenaran ini perlu digunakan secara terhad dan terkawal. Ini bukan penyalahgunaan dana, tetapi pematuhan kepada matlamat asal iaitu memastikan sistem saliran berfungsi. Secara langsung kegusaran kita semua berkenaan isu banjir ini dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, penyelarasan garis panduan dan penerangan yang jelas sangat perlu supaya semua urusetia serta pelaksana mempunyai kefahaman yang seragam dan tidak ragu-ragu dalam melaksanakan tugas.

Menurutnya, cadangan itu bukan sekadar melibatkan aspek teknikal, malah berkait langsung dengan kesejahteraan rakyat.

“Jika longkang tidak disenggara, banjir akan terus berlaku. Bila banjir berlaku, kita semua akan menanggung kerugian tidak kira dari pihak rakyat mahupun kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -