Bina Pahang Sejahtera melalui profesionalisme politik

Ustaz Nazri Ahmad
- Advertisement -

KUANTAN: Dalam usaha membina Pahang yang lebih sejahtera, profesionalisme di antara pembangkang dan kerajaan adalah kunci utama, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad.

- Advertisement -

Menurut beliau, Dewan Negeri tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai medan perbahasan politik, sebaliknya menjadi ruang amanah untuk mencari titik persamaan, memperbaiki dasar sedia ada serta memastikan setiap suara rakyat didengar secara adil dan bertanggungjawab.

“Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam demokrasi, namun ia perlu diurus dengan sikap saling menghormati, menjaga silaturahim dan memelihara adab politik.

“Pendekatan ini akan membuka jalan kepada keputusan yang lebih matang dan penyelesaian yang lebih berkesan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Wisma Negeri, di sini selepas selesai Persidangan Dewan Negeri, hari ini.

Beliau turut membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan Pahang 2026, semalam.

Nazri turut menegaskan bahawa kestabilan negeri perlu diberi keutamaan oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan politik, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, dalam masa yang sama menyeru agar kesatuan umat Islam dan orang Melayu di Pahang terus dipelihara sebagai tunjang keharmonian sosial dan politik negeri.

“Kesatuan ini bukan bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat, tetapi untuk mengukuhkan perpaduan, memupuk toleransi serta menjamin kestabilan politik yang akhirnya membawa manfaat kepada seluruh rakyat Pahang,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -