
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang digesa agar tidak terus bergantung kepada hasil melalui kenaikan cukai premium dan pelbagai bayaran semata-mata, sebaliknya mempergiat usaha meneroka sumber pendapatan baharu yang lebih mampan dan tidak membebankan rakyat.
Hassanudddin Salim (PN-Kuala Semantan) berkata, antara sektor berpotensi yang perlu diberi tumpuan ialah pelaburan, pelancongan, perindustrian, hasil bumi, teknologi serta ekonomi digital.
“Belanjawan 2026 yang dibentangkan menunjukkan kebergantungan utama hasil negeri masih lagi kepada kutipan hasil cukai tanah, cukai perniagaan dan royalti daripada sumber semulajadi seperti hasil perlombongan dan hasil hutan balak.
“Kerajaan negeri berbangga dengan pendapatan negeri yang terus bertahan tetapi dengan hanya bersandarkan kepada hasil tradisi seperti sekarang, tiada jaminan akan berlaku peningkatan yang ketara kepada hasil negeri tanpa meneroka peluang-peluang baru dengan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, di sini.
Beliau berkata, peningkatan hasil negeri melebihi RM1 bilion sejak tahun 2020 berlaku seiring dengan pelaksanaan pelbagai kenaikan cukai serta bayaran berkaitan tanah, pembangunan, pembalakan dan perlombongan.
“Sebagai contoh kenaikan pada masa itu adalah antaranya cukai tanah industri dinaikkan dari RM0.25 meter persegi kepada RM5.00 meter persegi. Kalau tak salah kenaikan sehingga 2,000 peratus pada masa itu tetapi kemudiannya pihak kerajaan memberikan remisen sehingga 80 peratus bagi meringankan beban mereka yang terkesan pada masa itu.
“Contoh juga adalah kenaikan bayaran carian rasmi yang sebelum tahun 2020 hanya RM50 untuk satu carian rasmi telah dinaikkan kepada RM100 dan begitulah juga banyak kenaikan dalam urusan tanah seperti tukar syarat, tukar hak milik, pembangunan tanah serta premium tanah, perlombongan dan pembalakan.
“Siri-siri kenaikan ini diteruskan, mungkin kerana pihak kerajaan belum begitu berjaya dalam meneroka bidang-bidang baru dalam usaha meningkatkan pendapatan negeri,” katanya.
Tambahnya, pada tahun lepas tarif air pula telah dinaikkan dan siri kenaikan cukai dan bayaran-bayaran yang dikenakan oleh pihak berkuasa ini terus berlaku.
Mengulas lanjut beliau berkata, bermula September 2024 diperkenalkan pula caj pemajuan oleh pihak berkuasa tempatan kepada pihak pemilik tanah atau pemaju.
“Saya difahamkan caj pemajuan ini adalah dari 10 peratus, 15 peratus 20 peratus dari perbezaan nilaian tanah dari sebelum pemajuan dan selepas cadangan pemajuan bergantung kepada di mana tanah yang akan dimajukan tersebut berada sama ada di kawasan majlis daerah, majlis perbandaran atau majlis bandaraya.
“Contohnya dari tanah pertanian ke perumahan. perbezaan nilaian tersebut akan dikenakan caj pemajuan dan kadar caj pemajuan adalah seperti disebutkan.
“Bukan sahaja pihak pemilik tanah atau pemaju perlu membayar caj pemajuan, dalam masa yang sama perlu pula melantik penilai berdaftar untuk membuat penilaian,” katanya.
Kata beliau, kenaikan wang caruman saliran bagi pemajuan perumahan dinaikkan 100 peratus dari RM2,000 ke RM4,000 ekar di kawasan majlis daerah dan RM3,000 ke RM6,000 di kawasan perbandaran.
“Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas semuanya akan melibatkan kenaikan kos hidup kepada rakyat sama ada secara langsung atau tidak kerana pihak pemaju pastinya tidak akan menanggung kos-kos terbabit melainkan akan dipindahkan kepada pembeli pengguna dan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











