Sedia laluan lepasan pondok, tahfiz swasta ambil SPM

Ustaz rosli
Dato' Rosli Abdul Jabar
- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dicadang mewujudkan satu program intensif khas bagi membolehkan pelajar lepasan institusi pondok dan tahfiz swasta menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), susulan kekangan peluang pendidikan yang dihadapi golongan itu ketika ini.

- Advertisement -

Dato’ Rosli Abdul Jabar (PN-Tanjung Lumpur) berkata, terdapat kira-kira 130 buah institusi pondok dan tahfiz swasta di negeri ini, namun hanya sekitar 60 daripadanya berdaftar dengan kerajaan.

Beliau berkata, pada masa ini hanya program Smart Tahfiz di bawah Yayasan Pahang yang menyediakan laluan untuk menduduki SPM, namun pengambilannya sangat terhad kepada 30 pelajar sahaja bagi setiap sesi.

“Yurannya pula mencecah RM1,000 sebulan dan untuk golongan asnaf sekitar RM300 ke atas. Ini sudah tentu membebankan ibu bapa yang kurang berkemampuan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Pahang 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Sri Pahang, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pelajar pondok yang menamatkan pengajian berusia sekitar 22 atau 23 tahun dan perlu memasuki Tingkatan Empat terlebih dahulu jika ingin mengambil SPM, sekali gus menimbulkan kekangan dari segi usia dan persekitaran pembelajaran.

“Adalah tidak munasabah untuk pelajar berusia 23 tahun duduk sekelas bersama pelajar 16 tahun. Sebab itu program fast track SPM ini sangat penting dan perlu diwujudkan sekurang-kurangnya satu atau dua buah pusat khas di negeri Pahang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ramai pelajar tahfiz berpotensi terpaksa melanjutkan pengajian dan mengambil SPM di negeri lain seperti Terengganu, yang menawarkan yuran rendah atau percuma berdasarkan tempat kelahiran dan pencapaian hafazan 30 juzuk Al-Quran.

“Sebagai contoh, pada tahun 2024, pelajar terbaik SPM di TATI UC adalah daripada anak Pahang. Namun, disebabkan negeri lain seperti Terengganu telah lama menyediakan kemudahan ini, mereka mengenakan yuran berdasarkan tempat kelahiran, bukan pendapatan ibu bapa.

“Di Terengganu, pelajar anak negeri diberi yuran yang sangat rendah, malah ada yang percuma. Bagi pelajar luar negeri pula, sekiranya mereka berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dengan kepujian, yuran juga dikecualikan. Yuran untuk anak negeri di sana pula kurang daripada RM100 dan pelajar luar negeri termasuk anak saya sendiri, apabila lulus hafazan 30 juzuk dengan kepujian, turut tidak dikenakan yuran.

“Ini menunjukkan keutamaan negeri-negeri lain adalah berdasarkan tempat kelahiran, sedangkan di Pahang, bantuan masih bergantung kepada tangga gaji ibu bapa. Justeru, saya berharap pihak kerajaan dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Dalam perkembangan sama, Rosli turut membangkitkan isu pembatalan pengambilan khas Tingkatan Empat di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan, bermula tahun hadapan, termasuk program Tahfiz Bestari yang sebelum ini menjadi laluan alternatif pelajar pondok ke peringkat SPM.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula pengambilan khas tersebut serta menaikkan taraf institusi bersejarah itu yang ditubuhkan pada 1941 dan telah melahirkan ramai ilmuwan Islam di Pahang. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -