Perlis adakan tuisyen rakyat secara percuma

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda kebajikan dan pendidikan rakyat apabila beberapa inisiatif penting diumumkan
oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam pembentangan Belanjawan 2026.

Beliau menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong pelaksanaan program kesejahteraan rakyat di peringkat Parlimen, termasuk memperuntukkan sebanyak RM60,000 kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Negeri Perlis bagi memastikan perkhidmatan rakyat dapat digerakkan dengan lebih berkesan.

- Advertisement -

Dalam ucapannya, Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) yang telah berkhidmat sepanjang penggal 2024/2025 yang bakal berakhir pada 31 Disember 2025.

Beliau menjelaskan bahawa proses pelantikan MPKK bagi penggal 2026/2027 sedang dimuktamadkan, selaras dengan lantikan dua tahun sekali sebagaimana ketetapan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga mengambil maklum permohonan kenaikan elaun MPKK dan menzahirkan penghargaan atas peranan besar MPKK sebagai perantara antara rakyat dan Kerajaan Negeri dalam menyampaikan aduan, cadangan dan permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

Sebagai tanda penghargaan rasmi terhadap peranan kepimpinan akar umbi, Mohd Shukri mengumumkan elaun baharu untuk MPKK.

“Melalui penambahbaikan ini, Pengerusi MPKK akan menerima elaun sebanyak RM400 sebulan, manakala Setiausaha menerima RM300 sebulan melibatkan kenaikan sebanyak RM100 bagi setiap jawatan tersebut,” jelas beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kompleks Seri Putra hari ini.

Selain itu, elaun kehadiran mesyuarat turut ditetapkan sebanyak RM30, sebagai galakan kepada penglibatan lebih aktif dalam urusan pengurusan komuniti.

“Kenaikan ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.39 juta,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Beliau menyeru agar pentadbiran MPKK terus bergerak aktif memastikan misi dan visi Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh hingga ke setiap komuniti.

Dalam usaha memperkukuh pencapaian akademik serta menjamin masa depan pendidikan anak-anak Perlis, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM150,000 bagi pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Perlisku Bestari secara percuma.

Inisiatif ini akan memberi tumpuan khusus kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, dengan menyediakan sokongan pembelajaran dalam mata pelajaran teras bagi mengukuhkan pencapaian akademik mereka.

Selain itu katanya, program ini turut menekankan persediaan bagi peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) agar pelajar lebih bersedia dan berpeluang mencapai keputusan yang lebih baik.

Mohd Shukri menegaskan bahawa program ini bertujuan memastikan tiada pelajar Perlis tercicir dalam persaingan pendidikan, malah lebih ramai pelajar dapat mencapai keputusan cemerlang melalui bantuan sokongan akademik yang tersusun.

Belanjawan 2026 yang dibentangkan jelas memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus mengangkat kebajikan rakyat serta memperkukuh sistem sokongan pendidikan, seiring matlamat menjadikan Perlis negeri yang makmur, sejahtera dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -