
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis sekali lagi membuktikan keupayaan pengurusan kewangannya apabila berjaya mengekalkan Sijil Bersih (Sijil Tanpa Teguran) bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2024.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli merakamkan penghargaan kepada Perbendaharaan Negeri Perlis serta semua jabatan dan agensi negeri atas pencapaian bersejarah itu.
“Penghargaan saya kepada Perbendaharaan Negeri Perlis serta semua jabatan dan agensi atas kejayaan mengekalkan Sijil Bersih. Semoga pencapaian ini terus menjadi pemangkin kepada pengurusan kewangan yang lebih cemerlang, telus dan berakauntabiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Putra, hari ini.
Dalam laporan kedudukan kewangan negeri, Mohd Shukri memaklumkan bahawa sehingga 5 Disember 2025, Kerajaan Negeri telah merekodkan terimaan hasil sebanyak RM193.86 juta, iaitu melebihi RM70.93 juta berbanding anggaran RM122.93 juta.
Pencapaian ini katanya, menunjukkan pengurusan hasil yang kukuh serta keberkesanan strategi pentadbiran fiskal negeri.
“Kerajaan Negeri kekal komited untuk memastikan tadbir urus kewangan dilaksanakan secara teratur, berintegriti dan berhemah,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan mengekalkan rekod kewangan bersih adalah bukti bahawa Perlis berada pada landasan yang tepat dalam membina negeri yang makmur, berdaya saing dan stabil dari segi fiskal.
Mohd Shukri turut melaporkan perkembangan positif pelaksanaan Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025, yang kini mencapai hampir 94 peratus pelaksanaan program, aktiviti dan projek yang dirangka.
Sebanyak RM253,000 diperuntukkan bagi program, kempen kebersihan dan pengagihan tong sampah ke kampung-kampung.
Usaha berterusan memperkukuh agenda kebersihan dan kesejahteraan awam telah menjadikan Perlis lebih bersih, indah dan menjadi destinasi yang semakin menarik kepada pengunjung.
Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Khas Perlis Bersih terus memantau tahap kebersihan negeri termasuk penyelenggaraan jalan, parit, longkang, pembersihan awam dan landskap di seluruh Perlis.
Setiap tinjauan dilaporkan dalam mesyuarat khas untuk tindakan segera oleh jabatan berkaitan. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











