
KANGAR: Pembentangan Belanjawan Perlis 2026 menyaksikan satu lagi komitmen besar Kerajaan Negeri dalam membangunkan Perlis sebagai negeri maju, tersusun dan mampan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengumumkan beberapa pencapaian serta inisiatif baharu berkaitan tanah, pembangunan bandar dan transformasi perkhidmatan.
Beliau menyifatkan bahawa tahun 2025 menjadi titik penting dalam sejarah pentadbiran tanah Negeri Perlis.
Menurut Mohd Shukri, tahun 2025 mencatat sejarah apabila Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan perluasan Bandar Kangar serta Bandar Arau, selain mewujudkan lapan pekan baharu seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Kanun Tanah Negara.
“Langkah strategik ini akan memberi impak besar kepada pembangunan negeri,” katanya ketika berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Kompleks Seri Putra, hari ini.
Antaranya menurut beliau adalah peningkatan signifikan terhadap nilai hartanah, limpahan pembangunan ekonomi setempat, perkembangan struktur geografi bandar, pembukaan kawasan perumahan baharu dan peningkatan peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Langkah ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan jangka panjang dan pengukuhan ekosistem ekonomi Negeri Perlis,” katanya.
Selain itu di bawah agenda pemberimilikan tanah, Kerajaan Negeri jelasnya, pada tahun 2025 telah meluluskan 333 permohonan individu serta lapan permohonan daripada agensi.
“(Sebanyak) 397 pemohon turut diluluskan untuk pelanjutan bayaran premium melalui Notis 5A, menjadikan keseluruhan 738 permohonan tanah berjaya diselesaikan sepanjang tahun tersebut,” ujar beliau.
Menteri Besar berkata, angka ini menunjukkan komitmen pentadbiran negeri untuk memastikan hak rakyat dipercepatkan dan diurus secara berkesan.
Bagi terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan Mohd Shukri berkata, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan Kempen Bayaran Tanpa Tunai bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2026.
Kempen ini menurutnya, dijayakan dengan kerjasama PayNet, rakan strategik dan penaja utama dalam memperluas transaksi tanpa tunai di Perlis.
“Melalui kempen ini, pemilik tanah boleh membuat pembayaran cukai tanah, premium dan perkhidmatan lain melalui kaunter Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perlis, kaunter pandu lalu, van bergerak atau Portal e-Tanah Perlis,” katanya.
Mohd Shukri menjelaskan bahawa Kempen Tanpa Tunai yang dimulakan sejak 2023 kini diteruskan melalui Bayaran Tanpa Tunai 3.0, yang diperuntukkan sebanyak RM500,000 oleh Kerajaan Negeri bersama PayNet bagi meningkatkan prestasi transaksi digital di seluruh Perlis.
Tambah beliau, kempen ini turut menawarkan pelbagai hadiah menarik melalui cabutan bertuah, termasuk motosikal, barangan elektrik dan peralatan elektronik.
“Inisiatif tanpa tunai ini memudahkan urusan rakyat di mana sahaja mereka berada, menggalakkan pembayaran awal serta mengiktiraf rakyat yang bertanggungjawab dalam pengurusan hak milik tanah,” ujar beliau.
Keseluruhan inisiatif yang diumumkan membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasa sistem penyampaian, memodenkan perkhidmatan tanah serta merancakkan pembangunan seiring aspirasi Belanjawan 2026.
Dengan perluasan bandar, pembukaan pekan baharu, pengukuhan sistem hak milik tanah dan galakan transaksi digital, Perlis terus melangkah sebagai negeri yang Bestari, Sejahtera dan Berdaya Saing. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











