Isu projek fidlot berlaku sebelum saya jadi MB

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Setakat ini Kedah ‘sejuk’ dan tiada apa-apa isu yang boleh dikaitkan dengan pemimpin negeri itu, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di sini.

Jelasnya, isu yang melibatkan salah seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kedah, berlaku sebelum 2020, sebelum beliau menjadi Menteri Besar lagi.

- Advertisement -

“Isu projek fidlot itu, saya tak tahu, itu zaman semasa saya belum menjadi MB, sebelum 2020. Tak tahu kejadian. Peristiwa itu pun saya tak pasti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas melancarkan Majlis Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050 (KDBP 2050) di Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada ketika itu, jelasnya lagi, Ahli Parlimen terbabit merupakan salah seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, di mana Menteri Besar dan pentadbiran negeri adalah orang lain, bukan dirinya.

“Kes lama sebelum 2020, MB orang lain, Exco-Exco pun orang lain. Kejadian itupun, saya tak tau apa. Nanti ada pula orang kata “saya ni tak tahu apa”.Tapi memang saya tak tahu sungguh.

“Kedah agro pun dah tutup dan ada syarikat lain sudah ambil alih,” katanya lagi.

Setakat ini ujarnya, tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Ahli Parlimen tersebut kerana beliau belum lagi disahkan bersalah.

Malah katanya, mahkamah juga belum memutuskan individu terbabit bersalah atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana isu tersebut sudah menjadi kes mahkamah.

Terdahulu, Ahli Parlimen berkenaan didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan untuk menerima rasuah bernilai RM400,000 dalam projek ladang ternakan lembu.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM atas pertuduhan bersubahat dalam perbuatan rasuah.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen tersebut mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh dan menyifatkan langkah itu bermotifkan politik.

Beliau menegaskan, sebelum ini beliau dipanggil ke pejabat SPRM, Kedah pada 25 Mac lalu, sebagai saksi untuk membantu siasatan berhubung projek penternakan lembu di bawah Kedah Agro. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -