
KOTA BHARU: Dakwaan masyarakat Cina ‘sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap PAS’ merupakan generalisasi tidak tepat yang mengabaikan fakta sejarah serta perkembangan politik semasa negara.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamad Nawi, berkata kenyataan Presiden MCA itu menggambarkan kelemahan memahami hubungan antara PAS dan masyarakat Cina yang telah berkembang sejak puluhan tahun.
“Jika benar masyarakat Cina secara total menolak PAS, tidak mungkin wujud sokongan yang pernah diterjemahkan melalui kerjasama parti-parti Cina sepanjang sejarah politik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Firdaus menjelaskan pada PRU 1999, wujud peningkatan undi masyarakat Cina terhadap Barisan Alternatif yang dianggotai PAS, PKR dan DAP, terutamanya di kawasan bandar.
Beliau berkata penubuhan Kelab Penyokong PAS pada 2004, yang kemudian dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 2009, membuktikan PAS satu-satunya parti Islam di Asia Tenggara yang membuka keahlian rasmi kepada bukan Islam.
“Rekod ini sendiri menafikan dakwaan masyarakat Cina sekian lama ‘negatif’ terhadap PAS. Penerimaan mereka berubah mengikut suasana politik, bukan bersifat kekal,” ujarnya.
Mengulas data terkini, Firdaus berkata analisis PRN 2023 menunjukkan undi bukan Melayu kepada Perikatan Nasional meningkat antara 8 hingga 14 peratus, termasuk daripada golongan muda Cina dan kelas pekerja bandar.
Menurutnya, naratif masyarakat Cina menolak PAS sudah tidak menggambarkan realiti semasa, terutama ketika isu kos sara hidup dan integriti menjadi keutamaan pengundi.
“Golongan Cina Gen-Z lebih menilai soal ekonomi, rasuah dan kecekapan pentadbiran berbanding sentimen ideologi. Ini terbukti melalui keputusan PRU15 dan PRN lalu,” jelasnya.
Firdaus menyifatkan kenyataan MCA sebagai serangan politik tidak konsisten kerana hampir semua parti pernah mengeluarkan kenyataan sensitif, termasuk DAP, MCA dan Umno, namun tidak pula digeneralisasikan sebagai ‘ditolak keseluruhan’ oleh sesuatu kaum.
“Itu membuktikan naratif MCA terhadap PAS bukan refleksi masyarakat Cina, tetapi retorik politik,” katanya menegaskan MCA gagal memahami asas perjuangan PAS yang berteraskan dakwah, kebajikan dan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Dalam konteks Islam katanya, pemerintahan bertujuan menjamin keselamatan rakyat, menjaga hak minoriti, mencegah rasuah dan menegakkan keadilan.
“Prinsip ini terbukti sejak Piagam Madinah, pemerintahan Andalusia hingga era Umar Abdul Aziz. PAS membawa semangat yang sama dalam Malaysia,” ujarnya.
Firdaus berkata PAS sentiasa membuka ruang kepada bukan Islam untuk mengenali Islam sebagai sistem hidup yang membawa rahmat, bukan ancaman.
“Masyarakat Cina akan dapat melihat PAS sebagai rakan politik yang membawa kestabilan, integriti dan masa depan ekonomi yang lebih baik apabila naratif sebenar perjuangan Islam difahami,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











