
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik kesudian dan keterbukaan Timbalan Ketua Pemuda MCA yang menyatakan kesediaan berdialog bagi menjernihkan naratif ‘ekstremis’ sering dimainkan terhadap parti itu, khususnya oleh kelompok cauvinis seperti DAP.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata, Pemuda PAS sentiasa terbuka kepada dialog, muzakarah dan pertukaran pandangan secara beradab dengan mana-mana parti politik yang menghormati Perlembagaan Persekutuan dan kerangka negara majmuk Malaysia.
“Politik label seperti ‘ekstremis’, ‘taliban’ dan seumpamanya adalah permainan persepsi yang tidak membantu rakyat, sebaliknya menambah polarisasi. Dialog yang ikhlas akan membantu kita menilai berdasarkan fakta, rekod khidmat dan dasar, bukannya fitnah dan stereotaip,” ujarnya dalam kenyataan.
Menurutnya, imej ‘ekstremis’ yang cuba dilekatkan kepada PAS banyak dipacu oleh pihak tertentu yang mengamalkan politik cauvinis dan sering memanipulasi isu agama serta kaum untuk kepentingan sempit.
Ulasnya, PAS telah terbukti selama puluhan tahun mentadbir negeri dan mengurus kepelbagaian dengan aman, menghormati semua kaum dan penganut agama lain, dan rekod itu akan dijelaskan secara telus kepada Pemuda MCA dalam apa jua platform dialog yang dipersetujui bersama.
“Pemuda PAS berpandangan bahawa Malaysia kini perlu dikembalikan kepada hala tuju politik yang lebih matang, berteraskan Perlembagaan Persekutuan, menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.
“Di samping memelihara hak penganut agama lain, menjamin keadilan kepada semua kaum serta menumpukan tenaga kepada solusi kos sara hidup, ekonomi, pendidikan dan masa depan anak muda,” kupasnya.
Beliau menegaskan bahawa budaya politik ekstrem, provokatif dan cauvinis yang menolak semangat muafakat nasional hanya akan menyekat potensi negara.
Dalam pada itu menurutnya, dialog dengan Pemuda MCA boleh menjadi titik mula untuk memahami dengan lebih dekat kebimbangan serta keutamaan komuniti masing-masing.
Ia jelasnya bagi mengurangkan prasangka yang dibina oleh propaganda pihak ketiga dan mencari titik persamaan dalam agenda reformasi sistem, integriti, antirasuah, ekonomi mapan dan masa depan anak muda.
“Pemuda PAS yakin bahawa apabila anak muda rentas parti memilih untuk bersemuka secara berhemah, ruang untuk politik kebencian akan semakin mengecil,” jelasnya.
Pemuda PAS menurutnya turut menegaskan pendirian bahawa PAS ialah parti yang sederhana (wasatiyyah) dalam kerangka Islam, tegas pada prinsip dan beradab dalam perbezaan.
Serta akuinya, komited mempertahankan kepentingan umat Islam pada masa yang sama menjaga keadilan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Inilah naratif sebenar yang ingin kami bentangkan dalam apa jua ruang dialog, termasuk dengan Pemuda MCA. Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia untuk mengatur pertemuan dan dialog secara rasmi dengan Pemuda MCA pada masa terdekat.
“(Ia) dengan hasrat agar budaya politik yang sihat, matang dan membina dapat mengatasi naratif ekstremis serta cauvinis yang memudaratkan perpaduan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











