Ada MyJPJ, MySikap, tapi masih lantik ‘orang tengah’?

Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bertindak melantik syarikat swasta sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipersoalkan pelbagai pihak memandangkan kerajaan sudah memiliki aplikasi rasmi yang berfungsi dengan baik.

Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, rakyat pelik dengan keperluan melantik pihak ketiga sedangkan segala urusan boleh dibuat terus melalui aplikasi MySikap dan MyJPJ.

- Advertisement -

​Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat Rider Gate Sdn Bhd itu seperti pembaharuan lesen kenderaan bermotor (LKM), pembayaran saman trafik dan tukar hak milik kenderaan bukanlah perkara baharu yang tidak boleh diakses rakyat.

​“Bukan semua ini boleh diakses guna aplikasi MySikap dan MyJPJ ke? Dah tu kenapa nak kena lantik syarikat ketiga ni? Sepatutnya jika aplikasi milik JPJ sendiri ada kekurangan, kan lebih elok ditambah fungsi dan ditambah baik sistem kerajaan sedia ada.

​“Bukan tiba-tiba beri kepada pihak ketiga (third party) untuk ambil kerja JPJ. Ini menimbulkan tanda tanya apakah ada udang di sebalik batu?” katanya.

Dr ​Nurul Islam turut meluahkan rasa kesal apabila syarikat berkenaan seolah-olah mendapat ‘durian runtuh’ dengan memperoleh keuntungan terjamin melalui komisen bagi setiap transaksi rakyat.

​Jelasnya, situasi ini memberi gambaran seolah-olah fungsi JPJ diswastakan secara halus kepada syarikat yang mempunyai rekod kewangan meragukan.

​“Orang bayar saman, dia dapat komisen. Orang perbaharui cukai jalan, dia dapat komisen. Orang buat pertukaran pemilikan kenderaan, dia dapat komisen.

​“Sedangkan kerajaan sudah ada fasiliti sendiri. Mengapa perlu wujudkan orang tengah untuk kaut keuntungan daripada urusan wajib rakyat dengan kerajaan?” soalnya.

​Menambah keraguan, beliau mendedahkan semakan mendapati syarikat yang dilantik itu tidak mempunyai pendapatan (zero revenue) dan mencatatkan kerugian dua tahun berturut-turut masing-masing sebanyak RM88,096 dan RM283,722.

​Justeru, pihaknya mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan rasional lantikan tersebut dan mendedahkan kaedah perolehan yang diguna pakai.

​“Apa kaedah pemilihan yang membolehkan syarikat yang rugi dua tahun berturut-turut dan mempunyai rekod kewangan buruk terpilih menjadi ejen kutipan JPJ?

​“Adakah sudah tiada syarikat lain atau agensi kerajaan sendiri tidak mampu menguruskan kutipan hasil negara?” tegasnya.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan Ramssol, Datuk Wira Cllement Tan memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn Bhd dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ. – HARAKAHDAILY 9/12/2025

- Advertisement -