Fokus gerak kerja capai hasrat PAS Teraju Pahang

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang (DMPNP), Salamiah Mohd Nor, berkata retreat bukan sekadar program perbincangan, tetapi usaha membina kekuatan dan menyemak semula fokus kerja agar setiap tindakan lebih berstrategi untuk mencapai cita-cita PAS Teraju Pahang.

- Advertisement -

Katanya, walaupun banyak program telah dilaksanakan sebelum ini, semua gerak kerja perlu berbentuk fokus, menepati sasaran dan selari dengan objektif parti di negeri ini.

Menurutnya, kejelasan hala tuju amat penting kerana Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kini semakin hampir dan muslimat mesti bersedia menggalas tanggungjawab jika diberi mandat memimpin negeri.

Beliau turut mengingatkan agar muslimat bersiap sedia dari aspek kepimpinan, termasuk keupayaan mengisi jawatan-jawatan penting sekiranya Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, sebagaimana pengalaman Terengganu yang memerlukan ramai pelantikan politik setelah diberikan amanah mentadbir negeri.

Jelasnya, kefahaman organisasi mesti diperkukuhkan kerana kerja bersendirian atau membuat keputusan tanpa penyelarasan tidak akan menguatkan parti.

Beliau menyatakan demikian sewaktu berucap pada Majlis Penutup Program Pemerkasaan Organisasi DMPNP yang diadakan di PUTRA Balok di sini hari ini, petang semalam.

Salamiah menegaskan bahawa pembentangan objektif dan struktur organisasi hari ini perlu difahami dan diterjemahkan ke dalam tindakan.

“Saya menyeru agar Muslimat turun mendekati masyarakat, mempamerkan kemampuan dan karisma masing-masing, serta tidak terperangkap dalam aktiviti dalaman semata-mata.

“Masyarakat kini sudah dapat menilai kemampuan PN, dan semua pimpinan perlu menjadi duta perubahan di kawasan masing-masing,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Salamiah turut mengingatkan agar pelan strategik yang diarahkan untuk dibina di peringkat Muslimat kawasan dilaksanakan segera tanpa ditangguhkan, kerana kelewatan akan melunturkan semangat dan menyukarkan kefahaman yang baru diperoleh.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan pelan strategi sangat bergantung kepada komitmen ahli jawatankuasa di semua peringkat.

Tambahnya, tanpa kesungguhan sumber manusia, pelan yang disusun tidak akan menjadi realiti.

Katanya, semua pimpinan Muslimat kawasan adalah insan yang dipilih dan dipertanggungjawabkan untuk membawa perubahan tersebut.

Sementara itu, pengarah program merangkap Timbalan Ketua DMP negeri, Hamidah Daud, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen tinggi yang ditunjukkan.

Beliau memaklumkan kesemua 14 DMPK hadir dan memberikan kerjasama penuh.

Beliau berharap agar 10 resolusi yang dibentangkan sepanjang program dapat dilaksanakan segera di kawasan masing-masing sebagai langkah mengukuhkan organisasi Muslimat di seluruh negeri.

Program sehari ini turut dibimbing oleh pasukan Lajnah Pemerkasaan Parti DMPM yang diketuai oleh Dr. Rosni Adam, yang memandu peserta memahami struktur organisasi, objektif strategik serta kaedah menggerakkan pelan tindakan dengan lebih tersusun. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -