
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Dapat berita duka pagi ini dengan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin yang merupakan satu kehilangan besar buat Sabah,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, pagi ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Karambunai mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah SWT memberikan ketabahan kepada seluruh keluarga dan melimpahkan rahmat serta keampunan ke atas roh beliau. Al-Fatihah,” katanya lagi.
Bung Moktar dilaporkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta, di sini.
Kematian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dimaklumkan oleh anak lelakinya, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di Facebooknya.
“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H),” kata Naim.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung 29 November lalu, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 135 undi. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











