
KUANTAN: Bonda kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Safinah Lebai Mahmud telah kembali ke rahmatullah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini pada jam 7.20 pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Mohd Zakhwan menerusi laman Facebooknya, hari ini.
“Ibu kami dicintai Safinah Lebai Mahmud telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 7.20 pagi ini.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala kesalahannya, diterima segala amal baktinya serta darjatnya,” ujarnya.
Menurut Mohd Zakhwan, jenazah bondanya itu dijangka akan sampai ke Surau Lebai Mahmud, Kampung Lada, Jerantut pada jam 1 tengah hari.
“Solat jenazah akan dilaksanakan pada jam 2.30 petang, iaitu selepas solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pedah selepas itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











