Seks songsang: Gesa Pusat perkasa perundangan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’  Seri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa Malaysia perlu mengambil tindakan serius terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

- Advertisement -

Menurutnya, LGBT menjejaskan asas kehidupan masyarakat berlandaskan ajaran agama di mana isu seks songsang bukan perkara baharu di negara ini, tetapi sehingga kini tiada tindakan tegas dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membanteras aktiviti berkenaan.

“Kita Malaysia menghadapi masalah kerana asas kehidupan kita tidak berlandaskan ajaran agama. Sebab itu kita kena berusaha untuk melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan bermasyarakat.

“Isu seks songsang ini bukan benda baru, tetapi tiada tindakan serius daripada pihak kerajaan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang operasi polis terhadap aktiviti berkenaan adalah berlandaskan maklumat yang sah, bukan tindakan sembarangan.

“Kalau kita kata tiada kes jenayah berlaku, takkanlah polis bodoh nak serbu begitu sahaja. Kalau setakat spa biasa, polis pun tidak serbu. Ketua polis kata mereka monitor dua minggu, maknanya mesti ada maklumat,” tegasnya.

Beliau menambah masalah utama adalah ketiadaan undang-undang yang menyeluruh untuk membolehkan tindakan diambil terhadap isu tersebut.

Keadaan itu memberi keberanian kepada pihak tertentu untuk terus bertindak kerana mereka tahu tidak boleh didakwa di mahkamah.

Dato’ Mohd Amar turut menegaskan kerajaan perlu mengambil inisiatif membawa isu ini ke Kabinet, termasuk memperkasakan mahkamah syariah dan meminda undang-undang sedia ada.

“Kalau perlu ubah undang-undang, ubahlah. Kalau perlu perkasakan mahkamah syariah, perkasalah. Menteri agama sepatutnya rasa malu dengan kenyataan ketua polis jika perkara ini diabaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2025

- Advertisement -