
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan memasukkan usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selama enam bulan tanpa perbicaraan di Dewan Rakyat disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap institusi Parlimen dan pengundi Kota Bharu.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menegaskan Parlimen bukan pentas membalas dendam politik, dan usaha mendiamkan suara wakil rakyat pembangkang adalah penyalahgunaan kuasa yang tidak boleh diterima sama sekali.
Menurutnya, usul yang dijadual dibahas pada 4 Disember 2025 itu dibuat tanpa asas kukuh, tanpa proses melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, serta tanpa memberi ruang pembelaan kepada Takiyuddin.
Beliau mengecam tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Senator Saifuddin Nasution Ismail, yang memasukkan usul berkenaan, yang disifatkannya sebagai tindakan tidak bertamadun dalam sebuah demokrasi moden.
Ahmad Fadhli mengingatkan bahawa Saifuddin Nasution sendiri sebelum ini menyatakan isu latihan komando Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila telah ‘selesai’ dan mengajak semua pihak untuk ‘move on’.
Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana isu yang diakui selesai itu tiba-tiba dijadikan justifikasi untuk hukuman paling berat terhadap seorang wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat.
Beliau turut menyelar alasan kononnya kenyataan Takiyuddin telah ‘membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan’, sedangkan apa yang dimohon hanyalah penjelasan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan APMM.
Tegas beliau, menegur kerajaan bukanlah satu jenayah, sebaliknya merupakan kewajipan seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam sebuah sistem demokrasi matang.
Dalam masa yang sama, beliau mempersoalkan pendirian Ahli-Ahli Parlimen kerajaan yang suatu ketika dahulu pernah menentang keras penggantungan enam bulan terhadap Lim Kit Siang pada tahun 2015.
“Hari ini, adakah mereka sanggup mengulang tindakan yang dahulu mereka sendiri gelar sebagai kejam dan tidak demokratik?” soal beliau.
Ahmad Fadhli menambah, tindakan kerajaan mengheret usul ini hanya membuktikan ketakutan terhadap teguran pembangkang, bukan kekuatan hujah.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan terdesak mendiamkan suara semak dan imbang di Dewan Rakyat, sekali gus mempercepatkan penolakan rakyat terhadap kerajaan seperti yang terserlah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
“Kezaliman tidak pernah kekal,” tegas beliau sambil menegaskan bahawa penyalahgunaan kuasa ini akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja oleh rakyat, tetapi juga di hadapan Tuhan. – HARAKAHDAILY 3/12/2025











