​‘Mana reformasi?’: Sibuk tekan lawan, abai rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH-BN lebih sibuk menumpukan usaha untuk menekan suara pembangkang di Parlimen berbanding menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan keselamatan dan nyawa rakyat.

- Advertisement -

​Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, usul penggantungan terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuktikan kegagalan kerajaan mematuhi prinsip keadilan dan reformasi yang dilaung-laungkan sebelum ini.

​Tegasnya, kerajaan sepatutnya memfokuskan kepada isu kegagalan Prosedur Operasi Standard (SOP) penguatkuasaan yang menyebabkan kehilangan nyawa atau kehilangan individu tanpa jejak, bukannya menggunakan peraturan Dewan untuk menghukum Ahli Parlimen yang bertanya soalan.

​“Sepatutnya mereka menumpukan perkara-perkara ini yang lebih besar, yang melibatkan rakyat. Kita tak kisahlah siapa, yang penting dia rakyat Malaysia.

​“Lihat kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling yang sampai sekarang kita tak tahu, hilang tanpa jejak. Begitu juga dengan kes mendiang Teoh Beng Hock yang mati di premis SPRM.

​“Keluarga mendiang dilaporkan masih tidak berpuas hati walaupun pampasan diberi kerana mereka merasakan ada sesuatu yang disembunyikan. Sepatutnya kerajaan tumpu selesaikan perkara begini yang melibatkan hak asasi, keadilan dan demokrasi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

​Mengulas lanjut, Awang turut membidas slogan reformasi yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya sebagai retorik semata-mata apabila tindakan mereka kini dilihat menzalimi pihak lawan.

​“Rakyat tidak boleh melihat tindakan-tindakan ini sebagai satu kezaliman. There’s your reform (Itukah reformasi) yang kamu perjuangkan sebelum ini? Mana reformnya? Tidak ada reform. Ini isu utama mengapa kami bangkitkan perkara ini hari ini,” ujarnya.

​Beliau turut mengulangi pendirian bahawa insiden di Masjid Rusila yang menjadi punca pertikaian tersebut adalah bukti jelas kegagalan SOP agensi penguat kuasa menghormati kawasan persendirian dan rumah ibadat yang dibina hasil sumbangan rakyat.

​Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menyeru seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib yang menimpa Datuk Seri Takiyuddin untuk menyertai solat hajat serentak pada malam ini.

​Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, usaha kerohanian itu adalah ikhtiar terakhir bagi memohon keadilan daripada Allah SWT memandangkan ruang demokrasi di Parlimen dilihat semakin sempit.

​“Saya mengarahkan jam 8 malam ini, kita buat solat hajat serentak di seluruh negara. Semoga Allah SWT berikan pengadilan yang sebenar kepada kes yang berlaku ini. Kita tidak ada tempat lain melainkan kita memohon kepada Allah SWT.

​“Jam 8 malam serentak kita buat seluruh Malaysia dan juga rakyat Malaysia di seluruh dunia yang bersama dengan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -