Isu wanita meningkat tetapi peruntukan kecil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) menzahirkan kegusaran terhadap kenaikan peruntukan bagi kesejahteraan wanita keluarga dan masyarakat yang disifatkannya tidak sepadan dengan peningkatan kes sosial, khususnya keganasan rumah tangga.

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun peruntukan kementerian meningkat sebanyak RM8 juta atau sekitar 1.26 peratus, jumlah itu terlalu kecil untuk menangani isu yang semakin meruncing.

Menurutnya, rumah perlindungan wanita yang sedia ada terlalu terhad, sesak dan banyak bergantung kepada bantuan NGO, namun bajet baharu tidak menunjukkan usaha membuka pusat perlindungan tambahan.

“Adakah kementerian sedar bahawa mangsa keganasan terpaksa menunggu kerana tempat sudah penuh lalu kembali hidup dalam bahaya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Salamiah turut meminta penjelasan sama ada kementerian merancang menambah kaunselor dan pekerja sosial profesional bagi menyokong peningkatan kes penderaan serta masalah keluarga.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan kelewatan pelaksanaan standard keselamatan nasional, termasuk keperluan pemasangan CCTV di pusat perlindungan.

“Bagaimana kementerian mahu menangani peningkatan kes penderaan jika pertambahan bajet tidak seiring dengan peningkatan kes?” soalnya.

Dalam pada itu, Salamiah menegur kenaikan kecil bagi butiran kebajikan masyarakat yang hanya sekitar 1.01 peratus, sedangkan sektor itu menjadi benteng terakhir bagi rakyat paling rentan.

Katanya, tekanan sosial di negara ini meningkat lebih cepat berbanding kemampuan bajet yang diperuntukkan.

“Mengapa peruntukan kebajikan masyarakat hanya meningkat sekitar 1 peratus sedangkan jumlah permohonan bantuan terus bertambah akibat kos sara hidup yang tinggi? Adakah kenaikan ini realistik untuk menampung keperluan rakyat?” soalnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -