
KUALA LUMPUR: Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) menegur tahap liputan media arus perdana terhadap isu skandal pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan, seperti didedahkan dalam laporan rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata, kes berprofil tinggi itu adalah isu integriti nasional yang serius dan telah menjejaskan reputasi Malaysia di pentas sukan antarabangsa, namun liputannya di media arus perdana dilihat tidak seimbang berbanding perhatian diterima di media sosial.
“Skandal pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan sebagaimana didedahkan dalam laporan rasmi FIFA merupakan isu integriti nasional yang serius dan hakikatnya menjejaskan reputasi Malaysia di arena sukan antarabangsa.
“Namun anehnya, liputan media arus perdana mengenai isu ini kelihatan tidak sampai ke peringkat menandingi isu ini di media sosial, dan hari ini sebahagiannya laporannya sudah tidak lagi keluar dalam akhbar media arus perdana,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini semalam.
Beliau menegaskan bahawa antara tanggungjawab media adalah memastikan kebebasan pemberitaan terhadap isu yang melibatkan kepentingan awam dan negara.
“Wartawan memainkan peranan bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi kadang-kadang perlu menyiasat sehingga akhirnya pemberitaan itu benar-benar sampai kepada rakyat dalam bentuk yang benar dan betul,” tegasnya.
Menurut Wan Hassan, apabila media sosial menjadi sumber utama pendedahan sesuatu isu, maklumat yang disampaikan sering kali tidak dapat dinilai secara serius kerana sifat platform itu yang tidak melalui proses penyemakan maklumat profesional.
Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada kementerian dapat memberi jaminan bahawa liputan isu FIFA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini di media arus perdana akan diteruskan sehingga kes berkenaan selesai. – HARAKAHDAILY 25/11/2025











