‘Simfoni Teh Nusantara’ semarak tradisi, ilmu

Ulang tahun ke-15 KUIZM

Azhar (kanan) dan Zulkifli dalam program Simfoni Teh Nusantara di Gombak, Selangor.
- Advertisement -

GOMBAK: Sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) diraikan dengan penuh meriah melalui penganjuran Simfoni Teh Nusantara, sebuah program yang menonjolkan kekayaan budaya dan warisan serantau.

- Advertisement -

Rektor KUIZM, Ustaz Azhar Yahya berkata, ulang tahun kali ini bukan sekadar meraikan usia KUIZM, tetapi melambangkan usaha berterusan kolej tersebut dalam berkembang sebagai pusat pengajian tinggi Islam yang progresif, berdaya saing dan berteraskan nilai tradisi murni.

“Melalui program seperti ini, kita menunjukkan bahawa pendidikan bukan hanya berlangsung dalam bilik kuliah, tetapi turut merangkumi pembinaan budaya, adab dan jaringan masyarakat yang menyokong perkembangan ilmu,” katanya.

Acara istimewa itu dirasmikan oleh tokoh ilmuan dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Yussof, yang mengetengahkan teh sebagai simbol penyatuan masyarakat Nusantara.

Menurut Azhar, lebih 15 jenis teh dari pelbagai negara serantau dipersembahkan kepada para tetamu, diiringi hidangan kuih tradisional dan juadah ringan yang mencerminkan identiti rantau ini.

“Kehadiran warga akademik, komuniti sekitar serta penyokong pendidikan Islam menambah seri suasana.

“Selain memupuk hubungan silaturahim, program ini berperanan sebagai platform mengangkat teh sebagai medium penyatuan ummah, dengan setiap bangsa di rantau ini memiliki tradisi teh yang tersendiri,” jelasnya.

Tambah beliau, Simfoni Teh Nusantara juga sebagai inisiatif menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada golongan B40 dengan menjadikan keseluruhan hasil kutipan sebagai dana Biasiswa DUPP.

“Justeru, KUIZM menyeru mereka yang berkelayakan untuk menjadi penerima dana Biasiswa DUPP, sebagai mahasiswa di bumi wakafan KUIZM.

“Inisiatif ini diusahakan bagi memastikan lebih ramai pelajar berpotensi, khususnya daripada aliran tahfiz dan institusi pondok, dapat meneruskan pengajian tinggi dalam suasana yang terjamin,” katanya.

Simfoni Teh Nusantara turut diserikan dengan persembahan seni silat serta pameran dan jualan lukisan. Turut disediakan sudut bergambar dan pameran herba teh berkualiti tinggi. – HARAKAHDAILY 21/11/2025

- Advertisement -