Sokong langkah Kedah pertahan hak pajakan P Pinang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kedah menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap isu pajakan Pulau Pinang yang disifatkan masih belum mendapat penyelesaian adil, bermaruah serta selari dengan sejarah kedaulatan negeri Kedah.

Ketua Penerangan PERKASA Kedah, Azrol Mansor dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pendirian badan itu adalah jelas bagi mempertahankan hak negeri Kedah berdasarkan fakta sejarah, bukan sentimen semata-mata.

- Advertisement -

Menurut beliau, PERKASA Kedah menjunjung kasih Titah Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menuntut penjelasan tuntas mengenai isu pajakan Pulau Pinang secara berfakta dan tanpa prejudis.

PERKASA Kedah mengingatkan bahawa Pulau Pinang bukan wilayah asing atau terpisah tanpa sejarah, sebaliknya merupakan sebahagian daripada Negeri Kedah sebelum berlaku pajakan secara paksa oleh British pada tahun 1786.

“Sehubungan itu, tuntutan negeri Kedah bukanlah langkah emosi atau populis, tetapi berpaksikan fakta sejarah dan prinsip kedaulatan negeri,” katanya.

Dalam kenyataan itu, PERKASA Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri Kedah untuk memulakan proses perundangan bagi menuntut penjelasan dan kedudukan sebenar isu pajakan tersebut.

Azrol menegaskan bahawa kedaulatan negeri tidak boleh dikompromi demi kepentingan politik jangka pendek mana-mana pihak.

PERKASA Kedah turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengiktiraf hakikat sejarah bahawa Pulau Pinang dipajak daripada Kedah, dan bukan diperoleh secara bebas atau tanpa ikatan sejarah.

“Rakyat Kedah berhak mengetahui isi sebenar pajakan ini. Isu ini tidak boleh disenyapkan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, PERKASA Kedah menyeru semua pihak termasuk para wakil rakyat untuk bersatu mempertahankan maruah Kedah, khususnya dalam isu yang melibatkan hak, sejarah dan kedaulatan negeri.

“Ini bukan sekadar isu teknikal atau pentadbiran, tetapi soal maruah dan hak sejarah yang mesti dipertahankan,” tegas Azrol. – HARAKAHDAILY 17/11/2025

- Advertisement -