Kecam Teresa Kok putar belit, biadab isu pajakan

Pertahan hasrat MB Kedah menjunjung Titah Sultan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Gabungan Gerak Rakyat, Hidupkan Amar Makruf, Hancur Aktiviti Maksiat (GERAHAM) menyelar keras tindakan beberapa Ahli Parlimen Kerajaan, khususnya daripada DAP, yang memutarbelitkan hasrat sebenar Menteri Besar Kedah berhubung isu pajakan Pulau Pinang serta gagal menghormati titah Tuanku Sultan Kedah.

Pengerusi GERAHAM, Ustaz Noor Hakimi Ab Halim, dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa pendirian Menteri Besar adalah jelas berdasarkan titah Tuanku Sultan Kedah supaya isu sejarah, fakta dan kedudukan pajakan Pulau Pinang tidak didiamkan dan tidak dilihat dengan prejudis.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri adalah selari dengan hak yang termaktub di bawah Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak Negeri Kedah untuk menilai semula kadar pajakan agar lebih relevan mengikut keadaan semasa.

GERAHAM melahirkan rasa dukacita apabila Ahli-Ahli Parlimen DAP dilihat bertindak biadap dan tidak matang dengan memomokkan kononnya Kedah cuba mengambil semula Pulau Pinang, sedangkan tuntutan kerajaan negeri hanya berkaitan semakan kadar pajakan.

Ustaz Noor Hakimi mengecam kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang mencadangkan agar Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan.

“Kenyataan yang cukup kurang ajar, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, serta langsung tidak menghormati kedaulatan negeri Kedah dan Institusi DiRaja,” ujar beliau.

Beliau menegaskan provokasi seperti itu mampu menghasut rakyat, merosakkan hubungan dua negeri serta menanam persepsi buruk terhadap Menteri Besar seolah-olah mahu ‘merampas’ Pulau Pinang.

GERAHAM menyenaraikan tiga ketetapan utama iaitu pertama, mengecam sekeras-kerasnya Teresa Kok kerana mengusulkan Langkawi sebagai wilayah persekutuan, yang dianggap menghina kedaulatan Kedah dan Institusi DiRaja.

Kedua, menyokong penuh hasrat Menteri Besar Kedah dalam menuntut kadar pajakan yang lebih relevan dan adil sebagaimana peruntukan Perlembagaan.

Ketiga, menyokong usaha sah Kerajaan Negeri Kedah untuk menilai semula kedudukan Pulau Pinang berdasarkan sejarah serta dokumen perundangan yang sah.

GERAHAM turut memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen kerajaan agar tidak lagi menghasut, mengelirukan rakyat atau menimbulkan permusuhan antara Kedah dan Pulau Pinang.

Tindakan tegas, katanya, perlu diambil terhadap mana-mana ahli politik yang mempermainkan Perlembagaan demi kepentingan politik sempit.

Dalam kenyataan sama, Ustaz Noor Hakimi turut memaklumkan bahawa beliau baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur selepas menyertai gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 13 November bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung kelulusan perlembagaan baharu DAP.

Dokumen bertajuk ‘Pelanggaran Perlembagaan oleh DAP terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966 serta tuntutan tindakan dan penjelasan rasmi daripada ROS’, antara lain mendakwa wujud percanggahan antara perlembagaan baharu parti itu dengan perundangan negara.

“Baru sahaja pulang dari ibu negara untuk membantah DAP, tiba-tiba pula DAP buat biadap lagi kepada Tuanku Sultan Kedah,” katanya kesal.

GERAHAM turut menegaskan komitmennya dengan berdiri teguh bersama Sultan Kedah dan Menteri Besar dalam mempertahankan maruah negeri, hak sejarah serta kedaulatan Institusi DiRaja.

GERAHAM juga tidak menolak bahawa tindakan ekstrem seperti pembatalan perlembagaan DAP wajar dipertimbangkan sekiranya parti itu terus bertindak biadap dan mencabar kedaulatan negeri. – HARAKAHDAILY 17/11/2025

- Advertisement -