
KUALA LUMPUR: Tahap Indeks Perpaduan Nasional (IPNAS) negara dijangka kekal pada kadar 0.7 peratus bagi 2026, sama seperti tahun ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemajuan perpaduan di negara ini.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, sasaran berkenaan kelihatan statik dan mungkin menunjukkan bahawa usaha memperkukuh perpaduan masih belum mencapai hasil yang diharapkan.
“Sehingga Oktober 2025, IPNAS diperoleh melalui pelbagai peringkat termasuk persekutuan, negeri, daerah, serta aktiviti yang dijalankan melalui Rukun Tetangga dan Kelab Rukun Tetangga (KRT).
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kementerian mengeluarkan IPNAS mengikut negeri, supaya rakyat dapat menilai prestasi dan mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini kelmarin.
Beliau turut merujuk kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Roslan Daud, yang menyatakan terdapat 10 faktor utama mempengaruhi tahap perpaduan masyarakat, termasuk etos bangsa, defisit sosial, pendidikan serta penggunaan bahasa kebangsaan.
“Dalam hal ini saya ingin menyentuh isu penguasaan bahasa kebangsaan yang menjadi asas kepada Perpaduan Nasional seperti yang ditegaskan oleh Ahli-ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof Madya Dr R Ramalinggam kalau ada rakyat negara ini yang tidak boleh berbahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu bagi saya itu satu dosa,” katanya.
Tambahnya, Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan lambang jati diri rakyat Malaysia.
“Perdana Menteri turut menegaskan dalam majlis makan malam Jubli Emas ke-50 MBank Group baru-baru ini bahawa beliau tidak boleh menerima rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya.
Dalam masa sama, Wan Razali menyingkap kajian yang dilakukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan pada 2020 terhadap 414 pelajar di lima sekolah vernakular di Kuantan.
Kajian mendapati 65.2 peratus pelajar tidak menguasai dan menulis bahasa kebangsaan dengan baik, hampir 40 peratus tidak lancar membaca dalam bahasa Melayu, manakala lebih separuh lemah dalam kemahiran bertutur.
“Jadi adakah sekolah persendirian turut diambilkira dalam dapatan indeks perpaduan Nasional?
“Seterusnya bagaimana Kementerian Perpaduan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan ini?” soalnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











