
KUALA LUMPUR: Warisan tidak ketara seperti bahasa, adat, seni persembahan dan kraf perlu dilindungi dengan dasar nasional yang menyeluruh agar tidak terus hilang ditelan zaman.
Menurut Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah), warisan tidak ketara merupakan jiwa dan identiti bangsa yang harus dipertahankan, namun semakin terpinggir akibat ketiadaan perlindungan yang kukuh dan sistem sokongan kepada para penggiatnya.
“Warisan tidak ketara ini termasuk bahasa, adat, seni persembahan, makanan tradisional dan kraf yang membentuk jiwa bangsa Malaysia. Namun hari ini, banyak daripadanya hilang bukan kerana masa, tetapi kerana tiada perlindungan yang berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib penggiat seni tradisional seperti tukang ukir, penenun, pembuat songket dan pemain makyong yang kini hidup tanpa sokongan sewajarnya, sementara generasi muda pula tidak melihat bidang ini sebagai sumber rezeki bernilai.
Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini semalam.
Sehubungan itu, Ustaz Ahmad Fakhruddin mempersoalkan bila kerajaan bercadang memperkenalkan Dasar Pewarisan Budaya Nasional yang bersifat menyeluruh dan melindungi warisan, bukan sekadar mempromosikannya untuk tujuan pelancongan semata-mata.
“Apakah mekanisme komprehensif yang sedang dilaksanakan bagi menyokong penggiat seni tradisional dan pewaris budaya tempatan termasuk warisan Islam dan Melayu seperti tulisan jawi dan seni khat?” soal beliau.
Bagi memastikan warisan ini terus hidup dan diwarisi, beliau mencadangkan penubuhan Dana Pewaris Budaya Negara bagi melatih pelapis muda melalui sistem ‘mentor-apprentice’, selain mendigitalkan seni dan adat tempatan sebagai rekod warisan negara.
“Sudah sampai masanya kita bukan sekadar mempromosi, tetapi melindungi dan menghidupkan kembali roh budaya bangsa yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun negara,” katanya.
Beliau menambah, keutuhan warisan tidak ketara bukan sahaja lambang identiti nasional, tetapi juga sumber kekuatan spiritual dan sosial mesti dipelihara agar Malaysia tidak kehilangan akar budayanya di tengah arus moden yang semakin deras. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











