Perkara 153 jamin perpaduan terus utuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain disifatkan sebagai asas penting yang menjamin keharmonian dan kestabilan negara, tegas Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).

- Advertisement -

Menurut beliau, peruntukan tersebut bukan sekadar menjamin hak peribumi, tetapi juga memastikan tiada kaum lain terpinggir, sekali gus menjadi tiang seri kepada perpaduan nasional yang sebenar.

“Perkara 153 ini ialah formula keseimbangan — untuk melindungi hak Melayu tanpa menafikan hak kaum lain. Ia diwujudkan demi keamanan negara, bukan untuk menindas sesiapa,” ujar beliau ketika membahaskan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa Kementerian Perpaduan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan, media sosial yang sepatutnya menjadi jambatan komunikasi antara rakyat kini telah berubah menjadi medan perang maklumat, penuh dengan fitnah dan hasutan yang menggugat keharmonian antara kaum.

“Perbezaan kaum di Malaysia ini sepatutnya menjadi seperti anyaman tikar — pelbagai warna, tetapi bila dianyam dengan baik, akan terbentang tikar yang indah dan kukuh,” katanya.

Datuk Idris turut menegaskan bahawa Islam telah menunjukkan contoh terbaik dalam menyatukan masyarakat berbilang bangsa, seperti mana Rasulullah SAW menyatukan dua kabilah besar — Aus dan Khazraj — di Madinah di bawah panji Islam.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa dalam usaha mengekalkan perpaduan, hak peribumi tidak boleh diketepikan.

“Walaupun kita tahu penjajah itu jahat, namun paling tidak mereka telah meletakkan asas kepada Perkara 153 yang menjamin hak istimewa orang Melayu untuk memastikan keamanan di negara ini,” tegasnya.

Mengimbau sejarah, beliau menyatakan bahawa di Kelantan, walaupun PAS telah memerintah sejak sebelum tahun 1978, tidak pernah berlaku penindasan terhadap kaum lain, termasuk ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969.

“Ketika itu, hak pribumi di sana terjamin, dan keadaan itu menjamin juga keselamatan golongan minoriti. Hingga kini, kerajaan PAS terus membenarkan rumah ibadat bukan Islam beroperasi tanpa sebarang halangan,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, model perpaduan berasaskan keadilan Islam yang diamalkan di Kelantan wajar dijadikan teladan nasional — bahawa perpaduan sejati hanya akan kekal utuh apabila hak semua pihak dihormati dan dijaga seadil-adilnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -