Model Mamdani pengganti Madani?

- Advertisement -

KUASA marhaen mampu mengoncang dunia! Itulah hakikat yang agaknya ramai pemimpin politik lupa dek gula-gula sokongan kroni maha kaya, dengan laba berjuta-juta untuk mencaturkan pilihan raya supaya kekal berkuasa. Maka apabila menang pemimpin politik seperti ini akan kekal menyembah kartel elit yang telah banyak berhabis membantu mendanai mereka naik ke tampuk kuasa.

Mungkin itulah yang difikirkan oleh pemodal-pemodal bilionair New York apabila berhabisan jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) demi menghalang kemaraan Zohran Mamdani calon bandaraya New York yang sangat popular, datang dengan dasar mahu membantu mengangkat marhaen daripada kemelut kemiskinan dan kongkongan kapitalis maha kaya yang di sisi bertentangan mahu melihat penerusan status quo demi mempertahan model empayar perniagaan memaksimumkan untung semata mereka. Mereka sanggup berbuat apa saja. Menurut Forbes kumpulan maha kaya berpengaruh New York, terdiri daripada 26 orang bilionair dan pewaris ‘old money’ kesemuanya telah ‘melebur’ hampir RM90 juta semata-mata mahu melihat Zohran Mamdani gagal memenangi kerusi datuk bandaraya terkaya dunia itu.

Untuk konteks jumlah tersebut mampu membantu 6,000 sekolah-sekolah di Malaysia dipasangkan CCTV.

- Advertisement -

Zohran Mamdani, mengaku berjiwa sosialis demokrat, bermanifesto mahu membantu golongan marhaen mendapat ekuiti lebih besar daripada kemewahan bandaraya New York. Zohran Mamdani antaranya berjanji akan mengawal, dengan membekukan sewa hartanah di New York supaya tidak naik meroket tanpa kawalan, supaya marhaen, kelas pekerja yang bekerja membantu berkhidmat untuk bandaraya New York dapat tinggal di situ dan bukannya berulang-alik dua jam pergi dan balik setiap hari. Beliau juga berjanji mahu memastikan perkhidmatan bas-bas percuma supaya lebih cekap dan cepat moga lebih ramai penduduk New York dapat bergantung menggunakan perkhidmatan bas-bas tersebut.

Namun yang menjadi kemarahan golongan kapitalis ialah apabila Mamdani yang baru berusia 34 tahun itu juga sedari awal kempen berjanji mahu menaikkan cukai kepada golongan maha kaya New York, sebanyak 2 peratus terhadap individu yang berpendapatan sebanyak USD1 juta setahun. Program percukaian maha kaya tersebut kelak bakal menyumbang dana sebanyak RM14 bilion setahun bagi bandaraya tersebut.

RM14 billion inilah yang bakal digunakan beliau bagi mendanai projek pengagihan kek kekayaan supaya lebih adil kepada golongan marhaen untuk semua program-program yang telah dijanjikan termasuk penjagaan kanak-kanak universal percuma, kedai runcit harga patut yang dikendalikan bandaraya New York sendiri dan projek perumahan mampu milik bagi golongan marhaen.

Mungkin visi Mamdani satu lagi pilihan bagi meningkatkan dana perbelanjaan awam yang boleh dipelajari dan dicontohi kerajaan Madani selain daripada opsyen berterusan memansuhkan subsidi dan mengenakan cukai terhadap marhaen.

“Kita akan menamatkan budaya rasuah yang membolehkan bilionair seperti (Presiden Donald) Trump (yang ligat berjoget di Malaysia tempoh hari-penulis), mengelak cukai dan mengeksploit pengecualian cukai,” tegas Mamdani ketika meraikan kemenangan menjawat jawatan datuk bandar New York.

Beliau bukan saja tokoh muslim yang pertama, malah Mamdani juga merupakan datuk bandar New York kelahiran Afrika yang pertama yang juga orang Asia Selatan yang pertama. Tidak terhenti di situ, Mamdani juga mendapat lebih sejuta undian dan menyaksikan pembabitan 2 juta pengundi keluar mengundi, tertinggi sejak tahun 1969. Malah Mamdani merupakan antara datuk bandar New York termuda. Beliau dilaporkan menang besar di kawasan-kawasan penduduk kulit hitam, the Bronx, projek perumahan awam dan kawasan perumahan golongan berpendapatan rendah. Membanggakan melihat kepada kempen fitnah dan ucapan kebencian ala Gelombang Hijau yang dilemparkan kepada beliau yang bernilai puluhan juta dolar AS.

Sememangnya ranjau politik Mamdani bukanlah mudah. Selain daripada mendapat ugutan bunuh beliau juga digambarkan sebagai tidak mempunyai pengalaman untuk menguruskan bandaraya sebesar New York. Presiden Donald Trump sendiri yang berasal dari New York bukan saja secara terbuka menentang pencalonan beliau dan menyokong Andrew Cuomo. Trump juga secara terbuka pernah mengugut untuk memotong dana perbelanjaan federal yang bernilai berbelas bilion dolar AS setahun, kepada bandaraya New York sekiranya Mamdani dipilih. Sama ada Trump bakal meneruskan MO politik dendam kesumat seolah-oleh mahu menghukum warga New York kerana memilih Mamdani, bakal kita lihat kelak.

Mamdani dilabel seteru sebagai ekstremis Muslim dan sering disamakan dengan kumpulan jihad, kumpulan bersenjata HAMAS, global Intifada malah digelar anti-semitik walaupun sering dinafikan sang empunya badan. Jawapan beliau tidak melihat keperluan untuk melawat Israel sekiranya dilantik Datuk Bandar New York seperti semua calon lawan lain, atas alasan akan berkhidmat untuk semua kumpulan Yahudi New York, di ke semua burroughs mereka, di satu program debat, dilabel sebagai ‘back hand’ tidak mengiktiraf entiti Israel.

Menarik untuk diamati ketika diajukan soalan tentang pendirian beliau terhadap Israel, bentuk soalan yang sering diajukan kepada beliau, beliau tidak melenting macam sesetengah Menteri Madani, namun memulakan bicara dengan penuh sopan kerana diberikan kesempatan untuk menjawab salah-faham tentang pendirian beliau malah diselang-seli dengan lawak jenaka seperti berjanji “tidak akan memaksakan pemakanan halal kepada semua warga New York”!

Bukan sedikit juga warga Yahudi New York menyatakan sokongan secara terbuka kepada pencalonan beliau walaupun ada ketikanya juga beliau konsisten mengkritik genosid yang berlaku di Gaza, Palestin. Malah beliau juga merakamkan tekad mahu menangkap Benjamin Netanyahu sekiranya, tokoh penjenayah perang numero uno ini, mendarat di bandaraya New York semasa beliau menjawat jawatan datuk bandar New York yang mempunyai penduduk berketurunan Yahudi terbesar di luar Israel. Hakikatnya juga gerakan anti genosid Gaza juga digerakkan kumpulan Yahudi bukan Zionis.

Aktivisme Mamdani bermula awal. Lulusan ijazah dalam Africana Studies ini mengasaskan secara bersama Palestine Chapter bagi Students for Justice di kolej beliau. Usai kolej beliau bekerja sebagai kaunselor bagi mengelak hartanah penduduk Queens dirampas dan dilelong, membantu penduduk mengelak daripada dihalau keluar tempat tinggal mereka, kerjaya yang telah menginspirasikan beliau untuk bertanding jawatan perkhidmatan awam. Setelah menang kerusi di New York Assembly, pada tahun 2020, beliau melobi keras dan diingati setelah berjaya menjalankan program bas percuma selama setahun bagi beberapa bas bandaraya. Mamdani juga berjaya mengharamkan sebarang pertubuhan non-profit tempatan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti kependudukan haram Israel.

Malah anak kepada pensyarah Universiti Columbia dalam bidang kerajaan dan antropologi ini mula dikenali ramai Ketika sama-sama terlibat bermogok lapar selama dua minggu bersama-sama kumpulan pemandu teksi di New York yang rata-ratanya terdiri daripada warga imigran pada 2021 sebagai tanda solidariti di hadapan City Hall bagi membantah hutang medallion (satu mekanisme bagi membolehkan kebenaran membawa teksi di Bandaraya New York) dan menggesa bantuan pihak bandaraya. Ianya berakhir dengan pihak bandaraya meletakkan siling kepada harga medallion, melakukan pengstukturan semula bagi pinjaman pemandu teksi bagi membeli medallion yang mencecah ratusan ribu dolar AS. Bandarya juga malah memberi bantuan kewangan kepada kumpulan itu bagi meringankan beban mereka itu.

Peristiwa ini dilihat warga New York dan khasnya golongan marhaen bahawa Mamdani bukan cakap kosong semata. Beliau benar-benar mengambil berat terhadap kesempitan hidup kumpulan pekerja dan akan berusaha dengan penuh komitmen untuk berjuang membantu mereka.

Ditambah dengan bakat media savvy, dengan penghasilan video-video TikTok yang memikat, persis pengacara senior rancangan bual bicara Amerika Syarikat, tentunya mewarisi darah seni ibunya, Mira Nair seorang pengarah filem tersohor, Mamdani berjaya menyampaikan mesej kempen beliau dengan klip-klip viral informatif dan catchy. Kempen media beliau juga berselang-seli dengan beberapa iklan bertema yang disiarkan ketika beberapa program TV popular bersiaran.

Mamdani juga ada berkongsi pesan neneknya untuk sentiasa berjasa kepada orang sebagai benchmark seorang Muslim yang baik. Pastinya motto tersebut tidak bertentangan dengan aspirasi politik meletakkan Islam sebagai wadah Utama.

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 10/11/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -