MTL: Khidmat Malaysia siap siaga hadapi bencana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan November ini.

- Advertisement -

​Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya cakna dengan perkembangan cuaca sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada 3 November lalu.

​”Mengikut laporan MET Malaysia, MTL dijangka berlaku pada pertengahan November sehingga Mac 2026. Semasa musim MTL, lima sehingga tujuh episod hujan lebat diramalkan berlaku bermula di Negeri Kelantan dan Terengganu seawal November 2025,” katanya.

​Beliau berkata, situasi yang sama berpotensi berlaku di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah, di mana hujan berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

​Menurutnya lagi, agensi kerajaan dan Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) juga merekodkan kejadian bencana banjir di beberapa negeri seperti Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah bermula bulan lalu.

​Justeru, Khidmat Malaysia mengingatkan seluruh penduduk di sekitar daerah yang dilaporkan dalam ramalan MET Malaysia supaya meningkatkan kewaspadaan serta keselamatan diri dan keluarga.

​”Seluruh penduduk di daerah terbabit diingatkan supaya membuat persediaan untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan operasi menyelamat,” ujarnya.

​Dalam pada itu, Ahmad Marzuk memaklumkan bahawa Khidmat Malaysia telah meletakkan jentera di negeri-negeri terbabit dalam status bersiap siaga.

Ujarnya, ​ini termasuk anggota-anggota terlatih serta aset dan jentera menyelamat bagi membantu pihak berkuasa dalam menangani situasi yang dijangkakan berlaku sekiranya diminta.

​”Bagi memastikan gerakan membantu rakyat yang terkesan berjalan lancar, Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia telah diaktifkan dan kesemua Bilik Gerakan Bencana Khidmat Malaysia di Negeri MTL telah diarahkan beroperasi dan bersiap sedia,” katanya lagi.

​Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian hotline 011-56553427.

​Khidmat Malaysia sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berusia hampir 12 tahun. ​NGO itu menguruskan bencana bermula dengan kerja menyelamat (rescue), bantuan (relief) dan pemulihan (rehabilition). – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -