Menteri elak jawab isu, kerajaan tak hormat Parlimen

- Advertisement -

PARIT: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan beberapa Menteri yang dilihat sengaja mengelak daripada menjawab isu-isu besar dan penting di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

​Tegasnya, Parlimen sepatutnya menjadi medan tertinggi untuk pihak eksekutif menjawab pelbagai persoalan penting kepada rakyat, namun apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya.

​Beliau berkata, sikap mengelak itu jelas kelihatan khususnya apabila Ahli-Ahli Parlimen membangkitkan persoalan berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

​”Bahkan, tindakan menyerahkan sesi penggulungan kepada Timbalan Menteri, bersikap defensif, atau menunjukkan reaksi emosional apabila diasak dengan soalan yang sah dan berasas, menggambarkan sikap tidak menghormati institusi Parlimen serta melemahkan prinsip ketelusan dalam tadbir urus,” katanya.

​Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Ismi menegaskan bahawa kehadiran Ahli-ahli Parlimen Pembangkang bukan untuk mencetuskan provokasi.

​Sebaliknya, jelas beliau, ia adalah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pihak Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap dasar dan perjanjian antarabangsa diteliti dengan mendalam.

​”Ahli-ahli Parlimen Pembangkang, termasuk saya sendiri, hadir bukan untuk mencetuskan provokasi tetapi untuk mendapatkan penjelasan rasmi bagi memastikan (perjanjian) tidak menjejaskan kepentingan negara, dan tidak membebankan rakyat.

​”Sikap mereka ini hanya menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bersedia untuk menjawab persoalan yang sebenar. Parlimen adalah tempat di mana dasar dan keputusan Kerajaan Persekutuan mesti dipertanggungjawab secara terbuka,” tegasnya.

​Justeru, beliau mendesak agar Kerajaan Persekutuan menghormati semangat demokrasi berparlimen.

​”Saya mendesak agar Kerajaan Persekutuan memastikan setiap Menteri bertanggungjawab sepenuhnya menjawab isu di bawah bidang kuasa masing-masing tanpa berselindung di sebalik prosedur, emosi mahupun sentimen,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -