
KAN SERONOK, duduk dalam negeri PH yang mewah, kaya, berkebajikan macam ni. Ni haa murah saja kan, RM36 untuk resort mewah, mana nak dapat?
Kalaulah betul resort mewah dikenakan caj sebanyak tu, mesti rakyat semua dapat hampir free kalaupun tak free terus, sepatutnyalah kan?
Inilah untungnya jika pandai pilih kerajaan, bil air tak naik, cukai tak naik, semua harga maintainlah. Fikiran rakyat tenang. Tak macam Terengganu, bil air mahal, bukan saja resort kena, tapi rakyat bawahan yang paling teruk kena.
Sampaikan bekas MB Terengganu terpaksa bawa penceramah tersohor dari luar ke Terengganu, semata-mata mahu beri kefahaman untuk sedarkan rakyat Terengganu yang tak sedar-sedar dari dipukau PAS yang guna agama itu.
Ingat slogan keramat ini, ‘BN Menang, Rakyat Senang’.
Jangan lupa juga sudah berbilion wang yang dibelanjakan BN Terengganu dahulu, sampaikan hampir kosong rezab negeri walaupun ada menerima lima peratus royalti secara tetap, tanpa potongan dan wang itu terus dimasukkan dalam akaun kerajaan negeri. Beza dengan Sarawak yang ada RM31 bilion rezab negeri.
Bahkan tidak cukup dengan wang hasil itu, BN Terengganu berhutang pula dengan Kerajaan Pusat hampir RM1 bilion dan masih ada lagi projek-projek yang dipanggil deferred payment (kontraktor bina dahulu guna modal sendiri, kerajaan bayar kemudian dengan harga yang dipersetujui – hutanglah tu)
Ini semua terpaksa dibayar ratusan juta setahun hanya untuk memberikan semua perkhidmatan secara percuma, tak ada cukai langsung dan apa-apa bil tak pernah naik sekalipun sewaktu pemerintahan BN. Sebab itu BN cukup marah dengan PAS Terengganu, kerana kenakan tarif dan cukai terhadap rakyat.
Adapun projek Kenyir, Taman Ilmu, bas dua alam, Jertih Souq, LPT2 lambat siap hingga kos jadi sekali ganda, stadium runtuh, Monsun Cup, Duyung Marina, kerugian-kerugian GLC dan lain-lain yang dibuat BN itu, semua sebenarnya adalah untuk rakyat. Pimpinan BN tak ada untung apa-apa pun, sungguh tak tipu. Kalau mereka kaya raya itu adalah rezeki Allah berikan. Alhamdulillah.
Namun sayang, rakyat Terengganu yang lupa daratan, tidak mengenang jasa BN, kemudiannya menjatuhkan BN, semata-mata percayakan janji-janji PAS yang menggunakan agama.
Jadi bukan salah BN jika projek-projek itu tidak siap, rugi atau tidak dibaiki, tapi salah rakyat yang jatuhkan BN sebelum projek-projek itu siap, dapat untung dan dipulihkan. BN kekal dengan prinsip bertanggungjawab terhadap rakyat. BN tak lari, BN tak goyang.
Jadi selepas baca apa yang aku tulis ini, harap fahamlah, apa itu maknanya Non-Revenue Water (NRW) sama ada real losses seperti kebocoran paip atau apparent losses iaitu kehilangan disebabkan kesalahan teknikal meter ataupun kecurian air oleh pihak-pihak tertentu.
Oleh kerana NRW inilah antara sebab terbesar kenaikan tarif air dilakukan, selain daripada untuk kos penyelenggaraan.
Cuma kita boleh lihat, hanya Terengganu yang dikecam hebat kerana tarif air naik, tetapi tidak kepada negeri lain yang majoritinya kenaikan tarifnya lebih tinggi dari Terengganu. Seperti sesuatu yang terancang selepas gagal untuk menjatuhkan kredibiliti pentadbiran Dr Sam.
Tapi yalah kan, bila dah tak ada isu nak serang, seluar dalam warna apapun dia boleh buat isu.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 9/11/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











