Pasar Cabang 4 Tok Mek Ngah bakal dibangunkan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Daerah Tumpat (MDT) merancang untuk membangunkan semula Pasar Cabang Empat Tok Mek Ngah bagi menempatkan pasar lama ke kawasan baharu yang lebih tersusun dan strategik.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, perancangan tersebut selaras dengan Rancangan Tempatan Jajahan Tumpat 2035 yang mengklasifikasikan Cabang Empat Tok Mek Ngah sebagai pekan baharu.

“MDT telah memohon kepada kerajaan negeri untuk membuat pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan tersebut dan akan dibangunkan secara usaha sama dengan syarikat pemaju yang berminat,” ujarnya.

Katanya, pasar berkenaan kekal maju walaupun kecil kerana menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelancong selepas beberapa lokasi berdekatan seperti Laman Seri Warisan Kapur Laut dan Masjid Ar-Rahman Kebar dinaik taraf.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rosli Abdullah (PAS–Wakaf Bharu) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan Ke-15 tahun 2025, hari ini.

Menjawab soalan tambahan mengenai penyelenggaraan kemudahan awam seperti tandas, taman rekreasi dan tempat letak kereta, Hilmi berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan sentiasa memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan penyelenggaraan berada pada tahap terbaik.

Katanya lagi, tandas awam diselenggara berdasarkan garis panduan penarafan bintang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta inisiatif ‘Kelantan Teguh Bersih’ yang menekankan kebersihan dan keselesaan pengguna.

“Setiap tandas dibersihkan tiga kali sehari, manakala ada yang disewa pajak kepada persatuan peniaga atau pengusaha swasta untuk diselenggara secara berkala.

“Kita juga memperkenalkan program tandas angkat oleh NGO, sekolah dan institusi pendidikan bagi membantu menjaga kebersihan kemudahan awam,” ujarnya lagi.

Menurutnya, kempen kesedaran turut dijalankan bagi mendidik rakyat menggunakan tandas dengan betul sebagai tanggungjawab bersama dalam memastikan kebersihan awam terpelihara.

“Jika tandas digunakan dengan baik, pengguna lain turut mendapat manfaat dan pahalanya berterusan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -