
KUALA LUMPUR: PAS memantau dengan dekat dan serius perkembangan berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika yang kini mendapat tentangan meluas daripada pelbagai pihak, termasuk cendekiawan, ahli akademik dan pakar undang-undang.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan tindakan menggadaikan kedaulatan negara melalui perjanjian berkenaan dapat dihentikan.
“Antaranya ialah menggerakkan tindakan memfailkan semakan kehakiman (‘judicial review’), mengadakan forum menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut.
“(Ia) serta menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, PAS turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kekal peka dan bersama mempertahankan maruah serta kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan ekonomi baharu yang terselindung di sebalik nama ‘perdagangan dan digitalisasi’.
Terdahulu media tempatan melaporkan Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik berskala luas pada 26 Oktober lalu bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta memperluas akses pasaran.
Perjanjian yang ditandatangani Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu turut melibatkan komitmen Malaysia terhadap akses pasaran industri dan pertanian AS serta kerjasama dalam perdagangan digital, alam sekitar dan hak pekerja. – HARAKAHDAILY 6/11/2025











