Status Halal dalam ART, syor wujud Akta Darul Quran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan dakwaan bahawa kelulusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak lagi diperlukan bagi mengimport barangan makanan dari Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, tuduhan tersebut timbul selepas kerajaan mengadakan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Ibu Negara baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam perjanjian tersebut Malaysia diwajibkan untuk menerima mana-mana badan pensijilan Halal di Amerika Syarikat, yang dilihat dapat mengancam industri halal tempatan.

“Tidakkah ini merupakan satu ancaman terhadap institusi halal kita sendiri iaitu logo Halal yang telah diiktiraf di Amerika Syarikat, JAKIM ataupun kita di Malaysia ini wajib untuk menerimanya.

“Walaupun kita kata bahawa itu kena di’approve’ oleh JAKIM, betul JAKIM memang dah approved daripada awal, tapi di bawah perjanjian ART ini Malaysia tidak boleh review lagi isu halal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 pada Peringkat Jawatankuasa terhadap Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Perbekalan 2026 selepas dibahaskan wakil rakyat bermula 13 Oktober lalu yang dibuat menerusi undi belah bahagi menyaksikan 120 setuju, 67 menolak dan 35 tidak hadir.

Sementara itu, Ahmad Fadhli mencadangkan kerajaan agar menaik taraf institusi pendidikan di bawah JAKIM iaitu Darul Quran yang ditubuhkan pada tahun 1966 yang kini usianya sudah mencecah usia 60 tahun.

Sebagai entiti yang bertanggungjawab menguruskannya kata beliau lagi, JAKIM tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menawarkan pengajian kepada pelajarnya sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh mengambil panduan dari penubuhan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi merealisasikan hasrat tersebut kelak.

“Sehingga hari ini tahap tertinggi ditawarkan oleh Darul Quran ialah Diploma Darul Quran JAKIM, jadi saya nampak masalahnya ialah kerana tidak ada akta khusus kepada autonomi kewujudan Darul Quran.

“Saya mencadangkan wujudkan Akta Darul Quran atau akta pengajian tinggi itu sendiri di bawah JAKIM itu dan kalau saya boleh kongsi role model seperti IPG dan ASWARA buat Ijazah Sarjana Muda,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2025

- Advertisement -