Siapa khianati kepentingan negara? Perjanjian LNG RM14 bilion

- Advertisement -

TINDAKAN kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian pembelian Gas Asli Cecair (LNG) daripada Amerika Syarikat bernilai USD3.4 bilion (bersamaan kira-kira RM14.283 bilion) setiap tahun mencetuskan persoalan besar mengenai arah tuju dasar ekonomi negara.

Selama ini Malaysia adalah negara pengeluar dan pengeksport minyak serta gas bukan pengimport. Petronas mempunyai operasi cari gali dan pengeluaran di dalam negara iaitu Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak manakala di luar negara iaitu dari Sudan ke Kanada, dari Mesir ke Australia. Maka mengapa kini Malaysia perlu membeli LNG daripada Amerika?

Apakah rasional kerajaan menandatangani perjanjian sebegini yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan terdahulu? Sejak penubuhan Petronas pada tahun 1974, Malaysia terkenal sebagai antara pengeksport utama LNG dunia. Hasil minyak dan gas menjadi tulang belakang ekonomi negara dan menjana puluhan bilion ringgit kepada KDNK setiap tahun.

Namun kini, di bawah pentadbiran PH-BN, Malaysia tiba-tiba berubah daripada penjual kepada pembeli. Adakah perjanjian ini untuk kepentingan rakyat atau untuk memenuhi agenda geopolitik Amerika di rantau ini? Lebih memalukan, ketika kerajaan beralasan kononnya tidak mampu membayar royalti minyak penuh kepada Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak tetapi dalam masa sama menyerahkan kekayaan negara kepada kuasa asing melalui perjanjian yang berat sebelah.

- Advertisement -

Amerika Syarikat bukan sekadar dapat menjual LNG malah turut mendapat akses kepada pasaran nadir bumi Malaysia iaitu satu sumber strategik yang sepatutnya menjadi aset masa depan negara. Adakah ini bentuk ‘kerjasama timbal balik’ yang dilaung-laungkan kerajaan? Atau sebenarnya bentuk baru penjajahan ekonomi moden di mana kekayaan negara mengalir keluar, sementara rakyat terus menanggung inflasi, kos sara hidup dan kehilangan subsidi?

Perjanjian ini bukan ‘timbal balik’ tetapi timbal rugi kepada kedaulatan negara. Malaysia tidak boleh terus menjadi ‘pengemis ekonomi’ yang membeli hasil sendiri dengan harga lebih tinggi dari tangan orang lain. Sudah tiba masanya rakyat, ahli ekonomi dan pemimpin berjiwa merdeka bangkit menuntut penjelasan penuh, pendedahan dokumen rasmi dan audit segera ke atas semua perjanjian strategik dengan Amerika Syarika

Perjanjian LNG RM14 bilion ini adalah lambang kecuaian dan kepatuhan membuta tuli kepada tekanan luar. Malaysia mesti kembali ke dasar berdikari dan berkedaulatan ekonomi bukan menjadi negara yang menjual sumber kemudian membeli balik hasilnya dari orang lain. Kekayaan negara ini milik rakyat bukan untuk dijual beli oleh mana-mana kuasa politik atau asing. Jika kerajaan gagal mempertahankan kepentingan negara maka rakyat wajib mempertahankannya sendiri

ANAS SOFFY ABD WAHID
Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -