
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan satu silibus khusus dikenali sebagai Pendidikan Hakam Keluarga bagi membendung peningkatan kes perceraian dan konflik rumah tangga dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini.
Cadangan itu dikemukakan ketika beliau mencelah dalam sesi penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Mohd Naim Mokhtar di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, konsep Pendidikan Hakam Keluarga boleh dijadikan modul pencegahan awal yang merangkumi asas fiqh munakahat, kemahiran komunikasi, pengurusan emosi serta prosedur penyelesaian syariah — dengan melibatkan institusi seperti JAKIM, mahkamah syariah, dan institusi pengajian tinggi Islam.
“Langkah ini bukan sahaja mendidik pasangan untuk memahami hak dan tanggungjawab masing-masing, tetapi juga melahirkan masyarakat yang lebih celik undang-undang syariah dan tahu menyelesaikan konflik secara beradab serta berasaskan hukum,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa kadar perceraian yang semakin meningkat saban tahun menuntut pendekatan baharu yang bukan hanya berbentuk kaunseling selepas krisis, tetapi pencegahan melalui pendidikan sebelum dan selepas perkahwinan.
Dalam responnya, Dato’ Mohd Naim menyatakan bahawa ia merupakan satu cadangan yang baik dan kerajaan akan mengkaji serta membuat pertimbangan sewajarnya bagi pelaksanaan idea tersebut. – HARAKAHDAILY 29/10/2025











