REE: Kelantan akan pertahan hak, kedaulatan negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan sepenuhnya hak terhadap sumber Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri itu, susulan termeterainya perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, perjanjian tersebut menimbulkan persoalan besar khususnya terhadap negeri-negeri pengeluar sumber mineral kritikal seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beliau menjelaskan, Kelantan memiliki deposit Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilai dianggarkan mencecah ratusan bilion ringgit.

Katanya, sumber berkenaan terletak di kawasan daratan dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Berbeza dengan petroleum yang berada di dasar laut dan sering dijadikan alasan menggunakan peraturan tiga batu nautika, REE ini berada di daratan dan menjadi hak mutlak negeri serta rakyat Kelantan. Hasil bumi ini mesti dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat, bukan ditentukan oleh kuasa luar,” tegas beliau.

Menurutnya, dasar kerajaan negeri amat jelas bahawa REE mesti diproses sepenuhnya di Kelantan dan bukan digali serta dieksport mentah ke luar negara.

Langkah itu katanya, mampu meningkatkan nilai tambah industri, mewujudkan peluang pekerjaan serta membuka ruang pembangunan industri huluan dan hiliran di negeri ini.

“Banyak pelabur luar datang untuk melombong dan membawa keluar REE bagi diproses di negara mereka. Kita menolak pendekatan seperti ini. Kerajaan negeri hanya akan menerima rakan pelabur yang adil dan membawa manfaat sebenar kepada rakyat Kelantan,” ujarnya.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kandungan perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat yang menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika, yang menurutnya boleh menjejaskan dasar negeri jika Kelantan mahu menghadkan eksport bahan mentah atau menetapkan syarat pemprosesan tempatan.

“Adakah langkah seperti itu nanti akan dianggap melanggar komitmen antarabangsa yang dibuat kerajaan persekutuan? Ini persoalan yang perlu dijelaskan kerana ia menyentuh soal kedaulatan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri pengeluar sumber seperti Kelantan sepatutnya dirundingi terlebih dahulu sebelum sebarang perjanjian antarabangsa dimeterai, kerana ia menyentuh hak negeri yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Kerajaan persekutuan perlu membentangkan isi penuh perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat ini di Parlimen dan di Majlis Tanah Negara. Rundingan khas bersama semua negeri pengeluar mesti diadakan sebelum dasar atau pemberian lesen diluluskan,” tegasnya lagi.

Dr Fadzli menegaskan, kerajaan negeri tidak akan membiarkan sejarah kehilangan hasil petroleum berulang kembali dalam isu REE.

“Kami tidak akan membenarkan REE menjadi petroleum kedua. Hasil bumi ini mesti kekal untuk rakyat Kelantan,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan negeri tetap mengalu-alukan pelaburan asing yang jujur, telus dan menghormati hak negeri.

“Pelaburan luar dialu-alukan, tetapi mesti disertai dengan rasa hormat terhadap kedaulatan negeri. Sumber negeri tidak boleh dijadikan cagaran politik atau bahan tawar-menawar diplomatik. Kami akan mempertahankan hak ini dengan hujah dan prinsip,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -