Sambut berlebihan cemar sensitiviti kemanusiaan

Kehadiran Trump ke Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan gaya dan nada sambutan yang berlebih-lebihan terhadap ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia semalam seolah-olah mencurah garam di luka penduduk Gaza yang masih berdarah.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, malah mencabar sensitiviti dunia bebas terhadap bencana kemanusiaan yang berlaku dan keadaan itu tidak sewajarnya menjadi citra pendekatan negara dalam interaksi seterusnya dengan pemimpin berkenaan.
 
Beliau berkata, PAS percaya kehadiran Presiden AS ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 harus dilihat dalam kerangka hubungan ekonomi, diplomatik dan geostrategik negara tanpa mengetepikan pendirian Malaysia berkait isu keadilan, kedaulatan dan kebebasan, khususnya melibatkan rakyat Palestin.
 
“PAS menggesa kerajaan supaya terus menjadikan tragedi kemanusiaan yang berlaku itu sebagai agenda penting negara dalam perbincangan dengan AS, sekali gus menegaskan pendirian konsisten Malaysia menolak pencerobohan dan kezaliman,” ujarnya dalam kenyataan.
 
Dalam pada itu, menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, apa-apa rundingan atau perjanjian perdagangan antara Malaysia dengan AS hendaklah didasarkan pada prinsip keadilan dan saling menghormati.
 
“Hubungan dua hala mana-mana negara hendaklah berpandukan asas ini dan manfaat ekonomi setara antara kedua-duanya, bukannya dominasi ekonomi sebelah pihak.
 
“Hubungan Malaysia dengan kuasa-kuasa besar dunia mestilah menatijahkan manfaat nyata kepada rakyat dan negara melalui perdagangan, pelaburan, pindahan teknologi dan lain-lain dengan mengekalkan aspek-aspek ketelusan dan maruah serta kepentingan kebangsaan,” katanya.
 
Takiyuddin menegaskan, Malaysia harus berdiri dan diterima di pentas dunia bukan sahaja sebagai sebuah negara yang berkembang, kompetitif, demokratik dan bermaruah, tetapi juga sebagai suara moral dunia Islam serta Negara-negara Selatan yang tegas mempertahankan kedaulatan, keadilan, hak asasi manusia dan kemerdekaan semua. – HARAKAHDAILY 27/10/2025

- Advertisement -

- Advertisement -