
KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan bahawa tindakan memberi layanan istimewa kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena kehadirannya ke Malaysia mencalar imej negara di mata dunia.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) yang meminta rakyat menjaga imej negara dan tidak mengadakan demonstrasi anti-Trump.
“Ketua Polis Negara minta jaga imej negara, katanya jangan buat demo anti-Trump,” ujarnya mengulas laporan bahawa KPN, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menasihatkan kumpulan yang mahu mengadakan protes terhadap Trump supaya mengelak kawasan KLCC semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Beliau mencadangkan lokasi alternatif seperti Padang Merbok bagi menjaga imej negara dan keselamatan awam, selain polis turut berhubung dengan penganjur bagi memastikan perhimpunan berlangsung secara aman tanpa provokasi.
Walau bagaimanapun menurut Rafique, imej Malaysia sebenarnya terserlah apabila negara ini konsisten menentang kezaliman dan mempertahankan keadilan sejagat.
“Malaysia merdeka dan ada undang-undang. Malaysia sentiasa akan anti-perang, sentiasa jaga hak negara lain tuntut merdeka, tidak akan iktiraf negara haram Israel, tidak akan sokong penjenayah perang dan penaja genosida,” tegasnya.
Tambah beliau, pendirian Malaysia yang menolak kuasa veto dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga sebahagian daripada imej negara yang berprinsip.
Rafique turut menegaskan bahawa memberi layanan kepada Trump seperti permaidani merah akan menjejaskan maruah negara kerana tokoh itu sendiri ditentang di negaranya.
“Di Amerika sendiri Trump ditentang. Malaysia pula mahu tunduk layu layan Trump?” soal beliau yang juga Ketua Penerangan PEJUANG.
Beliau turut menasihatkan Ketua Polis Negara agar memahami bahawa kedudukan Perlembagaan Persekutuan serta hak rakyat jauh lebih tinggi dan mulia daripada kepentingan mana-mana individu luar.
“Nasihat pada KPN, Perlembagaan Persekutuan dan hak rakyat jauh lebih tinggi dan mulia dari Trump,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2025











