
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menerima kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia akan menjadi catatan sejarah paling buruk dalam pentadbiran Perdana Menteri (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan antara penyebab kejatuhannya.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan demikian ketika berucap pada himpunan menolak kehadiran Trump, sambil mengingatkan bahawa Anwar tidak akan kekal di puncak kuasa kerana bertanggungjawab membawa ‘kepala pengganas’ ke bumi Malaysia.
“Kita nak ingatkan kepada Kerajaan Malaysia bahawa langkah menerima Donald Trump ini akan menjadi satu catitan sejarah yang paling buruk dalam kerjaya Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Sebab itu Perdana Menteri Malaysia pada hari ini anda tidak akan kekal di puncak kuasa,” ujarnya dalam himpunan Bantah Trump di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini hari ini.
Menurutnya, PAS sebelum ini pernah memberikan ucapan tahniah selepas Trump memenangi pilihan raya, namun turut mengingatkan beliau supaya memperhatikan isu Palestin dan mengubah dasar Amerika terhadap penindasan di bumi itu.
“Setahun dalam masa kemenangan ini tidak pernah merubah. Presiden Amerika Syarikat meneruskan dasar luarnya, bahkan lebih teruk daripada apa yang berlaku sebelum daripadanya,” jelas beliau.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan keperluan kehadiran Presiden Amerika ke Sidang ASEAN di Malaysia sedangkan sebelum ini Presiden Amerika tidak hadir ke sidang sama di Laos dan Indonesia.
“Tiba-tiba di Malaysia pada hari ini kena hadir Presiden Trump sebab nak bagi tahu depan mata supaya Malaysia ini pendirian Malaysia terhadap isu Palestin. Nak bagi tahu depan mata, poodahlah!” tempelaknya.
Beliau turut mempersoalkan ’tangan yang tergamak bersalam dengan tangan berlumuran darah saudara kita di Palestin’ serta menyifatkan perbuatan menyambut kedatangan Trump sebagai sesuatu yang hina.
“Donald Trump bukan setakat tidak dialu-alukan ke Malaysia, bahkan sewajarnya kita mengisytiharkan dialah penjenayah perang pada abad 21 pada hari ini.
“Tiba-tiba kita menyambut penjenayah perang untuk datang ke Malaysia. Tidak ada yang menyambut penjenayah perang kecuali dia juga berperangai seperti penjenayah perang,” tempelaknya lagi.
Menurutnya, penolakan terhadap kehadiran Trump bukan bermaksud mahu memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat, sebaliknya sebagai solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Yakinlah tuan-tuan sekalian, kerajaan PMX pada hari ini sedang membina hari untuk jatuh ke bawah telapak kaki rakyat Malaysia insya-Allah. Sejarah akan menjadi saksi pada hari ini.
“Sejarah akan mencatit bahawa inilah dia kebiadaban kesilapan yang paling besar yang telah dirakam oleh Perdana Menteri pada hari ini,” katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan laungan ‘Hidup, hidup Palestin’. — HARAKAHDAILY 24/10/2025











