
KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyeru semua pihak termasuk kerajaan, masyarakat dan komuniti setempat agar memandang serius isu keselamatan wanita.
Beliau berkata demikian susulan kejadian seorang remaja perempuan diserang dengan objek tajam di Melaka baru-baru ini yang disifatkannya insiden berkenaan amat menyedihkan dan mengerikan.
“Sedih dan mengerikan apabila mendapat tahu satu insiden yang menimpa seorang remaja perempuan di Melaka yang dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali,” ujarnya dalam kenyataan.
Menurutnya, insiden itu menjadi peringatan penting bahawa keselamatan wanita mesti diberi perhatian di mana sahaja mereka berada dan menuntut supaya keselamatan wanita dipandang serius semua pihak tanpa mengira peringkat.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, ‘Seorang Muslim ialah mereka yang membuatkan Muslim lain selamat daripada kejahatan lidah dan tangannya’.
Ustazah Nuridah turut menggesa pihak berkuasa agar segera membawa pelaku ke muka pengadilan dan memperkasa langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Terdahulu media tempatan melaporkan, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling, Melaka.
Kejadian berlaku baru-baru ini ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, dan menurut polis, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian pinggang belakang.
Terbaharu dilaporkan media bahawa, seorang wanita dikenali sebagai Yati, 35, terkejut apabila suspek yang melibas seorang remaja perempuan di Tanjung Kling rupa-rupanya adik kandungnya sendiri.
Mangsa berusia 19 tahun itu ialah adik ipar Yati yang tinggal berhampiran rumah keluarga mereka dan bekerja di sebuah kilang sarung tangan.
Keluarga suspek menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis serta memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi. – HARAKAHDAILY 23/10/2025











